SEPANG: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Balai Seni Negara mengambil inisiatif mempersembahkan empat karya awam di empat lapangan terbang antarabangsa di negara ini yang dikenali sebagai ‘KUL Art Airport’.
Empat karya hasil kreativiti karyawan tanah air itu kini boleh dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang (PIA), Kota Kinabalu (KKIA) dan Kuching (KIA).
Majlis pelancaran karya seni itu disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri di KLIA, hari ini.
Nancy berkata, pameran KUL Art Airport ini telah berlangsung sejak Mac lalu dan akan berakhir Jun depan.
Menurutnya, pameran ini bertujuan memperkasa ekosistem industri pelancongan serta memberi peluang kepada seniman tempatan menerokai dan memperkenalkan identiti seni dan budaya di pelantar antarabangsa.
“KLIA sebagai contoh adalah pintu masuk udara negara dan karya yang dipamerkan ini sudah tentu berupaya menarik perhatian pelancong samada domestik atau antarabangsa.
“KUL Art Airport dilihat dapat menjadi tarikan baharu pelancong domestik dan antarabangsa sekali gus ia dapat memperkenalkan konsep seni kepada orang ramai,” katanya.
Katanya, Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airports) turut menyambut baik inisiatif ini kerana ia bukan sahaja menceriakan suasana di lapangan terbang, malah membantu meningkatkan nama seniman tempatan di persada dunia.
Nancy berkata, karya-karya di semua lokasi ini memberi fokus kepada elemen budaya, seni, warisan dan alam semula jadi.
Menurutnya, empat karya itu termasuk OH!Budaya yang dihasilkan Sumay Cheah yang kini dipamerkan di PIA, manakala Polyhedron Pavilion hasil karya Allahyarham Noah Iskandar Fuad pula dipamerkan di KLIA.
“Dua karya lain iaitu lukisan mural ‘The Nature Mind of Landscape’ dihasilkan oleh Kenji Chai dipamerkan di KKIA dan ‘Reciting Hope’ dihasilkan Aftermath Thinker Art Collective yang kini boleh dilihat di KIA,” katanya.
Pada masa sama, Nancy menjemput bakat-bakat dan penggiat karya seni tempatan supaya dapat menyumbang idea untuk memeriahkan seni dan budaya tempatan di lapangan terbang lain di seluruh negara. – UTUSAN