PETALING JAYA: Dua beradik termasuk kanak-kanak berusia 11 tahun yang menaiki motosikal maut selepas dipercayai terjatuh sebelum dilanggar sebuah lori di Jalan PJS 3/2, Taman Medan di sini semalam.
Pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 8.54 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki dua mangsa iaitu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dipercayai hilang kawalan.
Menurutnya, kedua-dua mangsa itu dipercayai jatuh sebelum dilanggar sebuah lori yang melalui jalan berkenaan, di arah sama.
“Kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan yang berusia 35 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa berkenaan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Rozilah Hussin di talian 0162679025 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN