PETALING JAYA: Seorang eksekutif muda Petronas yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai memperoleh habuan RM40 juta daripada syarikat subkontraktor yang mempunyai kaitan dengan projek RM2.3 bilion.
Keuntungan yang diperoleh suspek berusia 35 tahun itu dikongsi bersama-sama bekas rakan sekerjanya yang juga pernah bertugas dengan syarikat GLC berkenaan.
Duit terbabit digunakan untuk membeli tanah di Pahang bernilai RM450,000 sebelum membina sebuah banglo dengan kos pengubahsuaian mencecah RM1.4 juta.
Petronas sebelum ini mengesahkan salah seorang kakitangan eksekutif peringkat rendah kumpulan itu ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam rasuah.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, pegawai eksekutif berkenaan yang bertugas di Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) telah meminta rakannya yang juga salah seorang daripada lapan suspek awam yang ditahan SPRM untuk berhenti kerja di syarikat GLC berkenaan dan membuka sebuah syarikat pada 2016.
Kata beliau, projek-projek yang diperoleh daripada kontraktor utama kemudiaan akan diberikan sebahagiannya kepada syarikat subkontraktor milik rakannya itu.
“Keuntungan yang diperoleh akan dibahagi sama rata mengikut bayaran yang diterima melalui projek sub berkenaan. Hasil siasatan SPRM mendapati setiap projek keuntungannya adalah 25 hingga 35 peratus,” kata sumber itu di sini hari ini.
Syarikat minyak milik negara, Petronas sebelum ini mengesahkan seorang daripada eksekutif peringkat rendahnya telah ditahan SPRM kerana disyaki terlibat rasuah.
Syarikat itu turut menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama sepenuhnya dengan SPRM dalam siasatannya.
“Petronas mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk salah laku dalam kalangan kakitangan.
“Untuk tujuan ini, Petronas telah bekerjasama rapat dengan SPRM sejak 2012 dan akan meneruskan kerjasama ini untuk menghapuskan rasuah dalam kumpulan,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Mengulas lebih lanjut, kata sumber itu, akaun yang dibekukan ketika ini melebihi 1.5 juta melibatkan akaun milik pegawai eksekutif berkenaan.
“Semakan SPRM juga mendapati terdapat aliran wang tunai dikesan hingga ke luar negara.
“Suspek juga membeli tanah untuk mendirikan sebuah banglo, bagaimanapun pembinaannya terbengkalai,” jelasnya.
Dalam pada itu, SPRM dalam satu kenyataan di sini semalam memaklumkan seorang daripada sembilan individu yang ditahan bagi membantu siasatan isu rasuah berhubung projek di syarikat GLC berkenaan merupakan eksekutif muda, bukannya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) seperti dakwaan segelintir pihak.
Kata kenyataan itu, suspek merupakan antara sembilan individu ditahan agensi itu sejak 8 Jumaat lalu sehingga hari ini.
“Siasatan ini merupakan hasil kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Petronas bagi membantu memperkukuhkan integriti di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan,” ujarnya.
“Lapan lagi individu yang turut ditahan merupakan pemilik dan pegawai kanan syarikat-syarikat kontraktor serta vendor yang menjalankan projek berkaitan isu rasuah tersebut,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pegawai eksekutif terbabit dipercayai individu yang bertanggungjawab menguruskan pesanan belian untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan berkenaan.
Mengambil peluang itu, suspek akan meminta proaksi untuk mencari syarikat-syarikat besar bagi mendapatkan projek penyelenggaraan berkenaan dan berperanan sebagai kontraktor utama.
Sebaik sahaja projek berkenaan diperoleh, syarikat berkenaan kemudiannya akan melantik subkontraktor yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pegawai eksekutif berkenaan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan itu.
Dianggarkan tiga sehingga lima syarikat subkontraktor yang mempunyai kaitan dengan pegawai berkenaan telah memperoleh projek-projek berkenaan.
SPRM sebelum ini menahan lapan individu terdiri melibatkan ketua pegawai eksekutif (CEO), ketua pegawai operasi, pegawai eksekutif, pengarah dan pemilik syarikat sama yang dipercayai terlibat melakukan rasuah membabitkan projek milik sebuah GLC dengan anggaran nilai kontrak keseluruhan melebihi RM2.3 bilion.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku antara 2017 hingga 2021.
Susulan daripada penahanan tersebut, beberapa sitaan dilakukan antaranya melibatkan 10 buah kenderaan mewah pelbagai jenama, pelbagai mata wang tunai melebihi RM27,000, lebih 50 barang kemas pelbagai jenis termasuk jongkong emas.
Turut disita adalah 15 jam tangan mewah pelbagai jenama, 13 beg tangan mewah pelbagai jenama serta membekukan 12 akaun syarikat dan individu. – UTUSAN










