Cuti 145 anggota JPJ Perlis dibekukan - Utusan Malaysia

Cuti 145 anggota JPJ Perlis dibekukan

FATIMAH Mohamed Ali Piah (dua dari kanan) dan Hamizan Hassan (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis, Arau, Perlis hari ini. UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri membekukan cuti semua 145 pegawai dan anggotanya bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan dan mengelakkan kecelakaan jalan raya khususnya pada musim perayaan ini.

Pengarahnya, Fatimah Mohamed Ali Piah memberitahu, kesemua mereka akan bertugas secara penggiliran berikutan jangkaan terdapat pertambahan mendadak kemasukan kenderaan ke Perlis sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri sehingga 8 Mei ini.

Katanya, terdapat juga pegawai dan anggota yang akan melakukan pemeriksaan teknikal di terminal bas bagi memastikan kenderaan tersebut mematuhi spesifikasi ditetapkan.

“Kita menempatkan pegawai dan anggota di kawasan strategik, sekatan jalan raya selain 45 anggota dilantik sebagai Duta Komuniti bagi melakukan advokasi di terminal bas,” katanya ketika ditemui semasa pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis di sini hari ini.

Sementara itu, Fatimah memberitahu, kenderaan berat tidak dibenarkan bergerak iaitu tiga hari sebelum dan dua hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Terdapat sekatan pergerakan kenderaan berat dengan bersyarat seperti kenderaan yang membawa bahan binaan tidak dibenarkan, namun, bagi membawa makanan dibolehkan sekiranya memenuhi syarat tertentu.

“Mengenai pertambahan bas ekspres pula, hasil perbincangan dengan operator pengangkutan awam itu mendapati buat masa ini belum ada sebarang pertambahan kenderaan tersebut.

“Syarikat bas ekspres akan memaklumkan kepada JPJ sekiranya ada pertambahan bas di saat-saat akhir bagi membolehkan pihak penguatkuasa tersebut memantau pergerakan pengangkutan awam itu,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN