Bijak tangani kos untuk kekal harga makanan - Utusan Malaysia

Bijak tangani kos untuk kekal harga makanan

NOR NADIAH ATIKA Said Abdul Nasir menyusun laksa utara yang telah siap dibungkus untuk dijual kepada pelanggan di gerainya di Bukit Rambai, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kenaikan kos bahan mentah tidak bermakna peniaga harus terikut dengan trend berkenaan untuk menaikkan harga sesuka hati, sebaliknya perlu bijak mencari penyelesaian tanpa membebankan pembeli.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik gerai Anzulaksa Utara, Nor Nadiah Atika Said Abdul Nasir berkata, dia masih menjual laksa utara dengan harga RM5 sebungkus, meskipun beberapa kos bahan meningkat.

Justeru katanya, dia sangat mementingkan kawalan kos memandangkan terdapat sukatan tertentu yang harus diikuti ketika penyediaan menu berkenaan.

“Laksa utara adalah resipi asal ibu mentua yang berasal dari Kedah dan segala perincian bahan serta teknik masakan telah diturunkan kepada adik-beradik yang lain. Ibu selalu pesan supaya menjaga kualiti masakan terutamanya melibatkan isi ikan.

“Sebagai peniaga, kita perlu bijak mencari alternatif lain untuk disesuaikan dengan situasi semasa. Contohnya kalau telur gred C semakin mahal, saya gunakan telur gred D. Begitu juga kuah dan sayuran yang turut disukat supaya tidak berlaku pembaziran,” katanya ketika ditemui di gerainya di Bazar Ramadan Taman Rambai Jaya di sini.

Tambah Nor Nadiah Atika, perniagaan itu merupakan warisan keluarga mentua sejak 22 tahun lalu dan kini dia bersama suami, Zul Ariff Ariffin Zulkifli, 31, mengambil alih bagi meneruskan legasi.

Menurutnya, dia menggunakan 50 bungkus laksa kering dan empat bungkus bihun kering setiap hari sepanjang Ramadan.

“Saya dan suami membuka dua gerai di dua lokasi bazar yang berbeza, tapi hanya di Bazar Ramadan Taman Rambai Jaya yang menjual laksa utara dan pelbagai aneka mi sup,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN