RANTAU PANJANG: Cubaan penyeludup membawa masuk selori minuman keras, rokok elektronik, barang runcit dan perkakas dapur gagal apabila lori tersebut ditahan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Kemahang, Tanah Merah semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7 pagi, anggota PGA turut menahan dua lelaki, iaitu pemandu lori berusia 32 tahun dan kelindannya yang berusia 30 tahun.
Pegawai Pemerintah Batalion 7, PGA Superintendan Azhari Nusi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM531,381.
Kata beliau, sebelum itu, anggota PGA melihat lori jenis Isuzu dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan rondaan rutin di Jalan Bukit Bunga menghala ke Kemahang.
Menurutnya, anggota bertugas terus menahan lori tersebut dan memeriksa bahagian belakang kenderaan itu sebelum menemukan sejumlah minuman keras tidak bercukai, rokok elektronik, barangan runcit dan perkakas dapur.
“Pemandu lori itu gagal mengemukakan sebarang dokumen keterangan berkaitan barangan yang dibawanya itu. Berdasarkan keterangan suspek, kesemua barangan tersebut akan dibawa ke Kuala Lumpur.
“Siasatan awal juga mendapati, pemandu dan kelindan lori menerima upah RM300 bagi satu trip penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kedua-dua suspek dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang dan kes disiasat mengikut Seksyen (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983. – UTUSAN