Aminuddin cabar kerusi Ketua Cabang PKR Port Dickson

Aminuddin cabar kerusi Ketua Cabang PKR Port Dickson

AMINUDDIN Harun (dua dari kiri) dalam sidang akhbar di Port Dickson hari ini bagi mengumumkan bertanding merebut jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson dalam Pemilihan PKR 2022.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sah bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson dalam Pemilihan PKR 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu akan mencabar penyandang jawatan, yang merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR  Negeri Sembilan dan ADUN Sri Tanjung, Datuk M. Ravi.

Aminuddin yang merupakan Pengerusi MPN PKR negeri berkata, walaupun akan berlaku pertandingan antara beliau dengan Ravi, ia proses biasa dalam demokrasi terutama dalam sesebuah parti politik.

“Inilah demokrasi apa-apa parti pun ia berlaku, yang penting bagaimana ia selepas ini untuk bersama-sama kita pastikan bahawa parti tidak rosak dan terkesan dengan pemilihan ini sebenarnya.

“Saya harap ahli-ahli parti di bawah memahami bahawa ini adalah demokrasi, malah saya dimaklumkan akan berlaku pertembungan lima penjuru bagi merebut jawatan Ketua Cabang Port Dickson, ini biasa dalam sesuatu proses pemilihan, ini demokrasi yang subur dalam Keadilan,” katanya dalam sidang akhbar di Lukut di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah tiga individu lain yang akan turut bertanding merebut jawatan di cabang tersebut iaitu N. Vijayajothy (Timbalan Ketua Cabang), Kenny Chiew Chi Kin (Naib Ketua Cabang) dan Janet Ung Chai Ho (Ketua Wanita Cabang).

Sementara itu, Aminuddin yang berasal dari Kampung Pachitan di sini memaklumkan bahawa beliau belum memutuskan sama akan bertanding sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

“Masih dalam perbincangan, ada yang mencadangkan kepada saya untuk bertanding di peringkat MPP, tetapi masih belum saya putuskan, insya-Allah saya akan maklumkan. 

“Memang ada cadangan daripada teman-teman, ada suruh bertanding untuk jawatan itu dan ini malah ada juga yang berpandangan untuk saya tidak bertanding, itu antara perkara yang akan dipertimbangkan. Penamaan calon untuk MPP adalah pada 28 April jadi ada ruang lagi di antara pimpinan untuk berbincang dalam keadaan yang lebih baik,” katanya.

Sebelum ini timbul spekulasi Aminuddin akan bertanding merebut jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson selepas beliau mengesahkan bahawa dirinya telah berpindah keahlian dalam parti ke cabang Port Dickson sejak akhir Januari lalu. Beliau sebelum itu merupakan Ketua Cabang PKR Tampin sejak 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN