709 pekerja Perwaja Steel lega terima pampasan RM8.645 juta  - Utusan Malaysia

709 pekerja Perwaja Steel lega terima pampasan RM8.645 juta 

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) selepas menyampaikan cek kepada pekerja 709 bekas Perwaja Steel Sdn. Bhd. di Pejabat UMNO Kemaman di Kemaman, hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Penantian lebih tujuh tahun seramai 709 bekas pekerja Perwaja Steel Sdn. Bhd. di sini akhirnya mendapat pembelaan apabila kesemua mereka menerima pampasan bernilai RM8.645 juta, hari ini. 

Pemberian pampasan itu melegakan kumpulan pekerja berkenaan selepas berdepan nasib malang akibat diberhentikan kerja pada November 2014.

Bekas penyelia stor, A. Ghani Ismail, 62, berkata, perjuangan mereka selama ini berbaloi apabila mendapat keadilan di mahkamah.

Katanya, sebagai antara pekerja paling awal berkhidmat di syarikat berkenaan sejak 1980-an, dia berjaya mendapat pampasan tertinggi sebanyak RM20,000.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami terutama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan wang ini akan saya gunakan untuk menyara kehidupan keluarga.

“Selepas diberhentikan kerja, saya menjadi imam di Masjid Kampung Paya Berenjut di kawasan rumah,” katanya selepas menerima cek pampasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat UMNO Kemaman di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penyelia stor, Wan Amiriah Wan Endut, 50, berkata, kejadian berkenaan menyebabkan namanya disenarai hitam bank kerana gagal membayar pinjaman yang tertunggak di samping menanggung hutang kad kredit.

Katanya, selama setahun dia hidup tertekan akibat diberhentikan kerja sebelum berjaya mendapat pekerjaan baharu sebagai eksekutif stor.

“Saya berkhidmat di Perwaja Steel selama 20 tahun dan bersyukur kerana perjuangan kami menuntut hak akhirnya membuahkan hasil.

“Hadiah ini meringankan beban kami untuk menampung perbelanjaan keluarga terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri minggu depan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya