JERANTUT: Kawanan gajah liar yang sebelum ini kerap menceroboh masuk ke kawasan kampung, merosakkan tanaman penduduk dan dianggap liar serta berbahaya kini mula ‘jinak’ dan memahami apabila berdekatan manusia.
Pencinta gajah liar Taman Negara, Abdul Jalil Abd. Rahman berkata, ketika dia dan beberapa orang penduduk berada di sebuah penempatan pekerja ladang sawit milik Yayasan Pahang (YP) di Kampung Kuala Sat menyaksikan sendiri dua ekor gajah menghampiri kawasan itu untuk mencari makanan.
“Haiwan liar ini nampaknya mula jinak menghampiri kawasan kediaman di sini ‘seolah-olah’ meminta makanan, tetapi, apabila disuruh (dihalau) supaya beredar dari sini, gajah ini berlalu sambil menjerit dan mengangkat belalainya.
“Situasi ini memperlihatkan gajah liar di Ulu Tembeling meminta ihsan manusia supaya menjaga ‘kebajikan’nya khususnya memberikan makanan termasuk melindunginya (gajah) di sebuah kawasan rayau,” katanya di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling dekat sini hari ini.
DUA ekor gajah liar yang memasuki kawasan rumah pekerja Ladang Yayasan Pahang kelihatan jinak dan dihalau keluar oleh penduduk di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. – (VIDEO/IHSAN JPKK KUALA TAHAN)
Abdul Jalil berkata, konflik antara gajah liar dengan manusia berlaku sejak 20 tahun lalu sejak kawasan hutan Ulu Tembeling dibuka untuk pembangunan ladang dan pembalakan sehingga haiwan liar yang besar di darat itu menceroboh kampung dan tanaman di pesisir Sungai Tembeling.
Katanya, memandangkan konflik ini berterusan melibatkan 30 hingga 40 ekor kawanan gajah yang berkeliaran di kawasan itu, ia wajar dipulihara supaya tidak pupus khususnya bagi kelestarian ekosistem dan ekopelancongan menerusi pembukaan sebuah kawasan Koridor Gajah berdekatan Kampung Kuala Sat.
“Kawasan yang melangkaui antara Hentian Rehat Bukit Awan dengan Kampung Kuala Sat seluas 80 hektar telah dibuka oleh kerajaan negeri dan perlu mendapat sokongan semua pihak supaya kegiatan haiwan liar ini terkawal dan terpulihara khususnya keselesaan memperoleh makanan.
“Koridor Gajah ini sewajarnya dilebarkan (diluaskan) lagi pada masa akan datang antara laluan utama haiwan liar ini merayau mencari makanan serta pada masa yang sama menjadi tarikan pelawat yang singgah di Hentian Bukit Awan dan pusat pelancongan kampung tradisional Melayu Kuala Sat,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Gajah Liar Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri telah mewartakan kawasan seluas 80 hektar antara Hentian Bukit Awan dengan Kampung Kuala Sat (berdekatan Ladang Yayasan Pahang) sebagai koridor bagi tujuan gajah liar merayau mencari makanan serta mengelakkan menceroboh kawasan kampung dan tanaman.
“Sehingga ini, kita telah melantik sebuah syarikat untuk menyelenggarakan tanaman rumput napier di samping memulihara tanaman hutan yang sedia ada sebagai makanan gajah liar pada masa akan datang.
“Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga memohon bantuan bantuan renjer Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Tahan, JPKK Kuala Sat serta penduduk mengawasi aktiviti gajah liar ini dan membuat laporan sekiranya berlaku pencerobohan kawasan kampung dan pertanian,” katanya.
Nazri menjelaskan, sekiranya berlaku pencerobohan berulang seperti sebelum ini, kerajaan negeri dengan kerjasama Perhilitan Unit Tindakan Gajah Kuala Gandah, Lanchang akan menangkap gajah liar itu untuk dipindahkan ke tempat lain.
“Bagi saya, pembukaan koridor gajah di Ulu Tembeling antara penyelesaian terbaik konflik gajah dengan manusia serta bermanfaat untuk pembangunan ekopelancongan Ulu Tembeling selain mengelakkan kos pemindahan yang tinggi memakan peruntukan melebihi RM50,000 untuk seekor gajah.
“Sejak dua tahun lalu sehingga kini, sebanyak 14 ekor gajah liar yang menceroboh kawasan kampung dan tanaman di mukim Tembeling Tengah dan mukim Ulu Tembeling telah dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Liar di Kenyir, Terengganu,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










