Rundingan pemberian khas Sabah bersambung 19 Disember

Rundingan pemberian khas Sabah bersambung 19 Disember

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rundingan pemberian khas kepada Sabah antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri itu akan bersambung pada 19 Disember ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kedua-dua pihak telah menyatakan komitmen untuk melaksanakan perbincangan secara progresif bagi memastikan proses rundingan berjalan secara teratur dan berkesan.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan telah mengadakan rundingan bersama kerajaan negeri Sabah pada 17 November lalu dan seterusnya menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Peringkat Pegawai melibatkan kedua-dua kerajaan.

“Dalam rundingan itu, turut dibincangkan terma rujukan yang akan dijadikan panduan semasa proses perundingan dilaksanakan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara, semalam.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan menerusi platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) komited untuk merundingkan kadar pemberian khas yang lebih baik, termasuk meningkatkan amaun pemberian khas kepada Sabah.

Katanya, pada 2023, amaun pemberian khas Sabah telah dinaikkan kepada RM300 juta dan mulai 2025, kerajaan bersetuju menaikkannya hampir sekali ganda kepada RM600 juta.

“Pembayaran ini adalah bersifat interim sementara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sedang merumuskan kaedah baharu bagi menentukan pemberian khas pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin terhadap keperluan pembangunan Sabah dengan peruntukan mengurus dan pembangunan meningkat daripada RM14 bilion pada 2023 kepada RM17 bilion pada tahun hadapan.

Katanya, peruntukan tersebut disalurkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan strategik termasuk Lebuhraya Pan Borneo Sabah, bekalan air dan elektrik luar bandar, jalan perhubungan desa serta penyediaan kemudahan ameniti sosial.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN