Tolak tawaran IPTA demi jadi petani, kini raih hingga RM10,000 sebulan - Utusan Malaysia

Tolak tawaran IPTA demi jadi petani, kini raih hingga RM10,000 sebulan

RONALD Kiandee menyampaikan Anugerah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tahun 2021 kepada Nur Aifa Shaari pada Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-10 Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan menolak tawaran melanjutkan pengajian di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) ternyata berbaloi buat seorang graduan Kolej Pertanian Malaysia apabila dia kini bergelar seorang usahawan tani berjaya. 

Nur Aifa Shaaeri, 26, berasal dari Pasir Puteh, Kelantan adalah graduan Diploma Kemahiran Malaysia (Bidang Tanaman) dan antara 1,712 graduan yang diraikan pada Majlis Konvesyen Pertanian Ke-10, di sini hari ini. 

Nur Aifa berkata, dia menolak tawaran kemasukan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di sebuah IPTA pada 2017 sebaliknya memilih untuk memasuki Kolej Pertanian Malaysia. 

Katanya, dia memilih Kolej Pertanian Malaysia kerana minat yang mendalam dalam bidang tanaman selain menyifatkan ia satu ilmu yang berbaloi untuk dipelajari. 

“Keputusan saya tidak sia-sia apabila berjaya memperoleh pendapatan sekitar RM8,000 hingga RM10,000 sebulan sejak dua tahun lalu hasil daripada pelbagai tanaman dan penternakan yang diusahakan.

“Ketika ini, saya mengusahakan tanaman kacang panjang, jagung, cili kulai, kangkung, bayam, penternakan ikan hiasan dan ikan keli di kampung saya di Kampung Gong Depu, Pasir Puteh,” katanya. 

Katanya, sebelum ini dia sudah enam tahun terbabit dalam bidang pertanian, malah sudah mengikuti pelbagai kursus jangka pendek sebelum memasuki kolej pertanian.

Jelasnya lagi, dia turut merancang untuk membuka ladang tanaman fertigasi pada masa depan bagi menambah portfolio tanamannya. 

Pada majlis sama, Nur Aifa turut menerima Anugerah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Industri Makanan 2021 serta Anugerah Khas Ketua Setiausaha 2021 dan membawa pulang wang tunai keseluruhan RM4,000 yang disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Sementara itu, seorang graduan Kolej Pertanian Malaysia yang tamat pengajian pada 2020, Mohd Zakaria Abd Rahman, 26, berkata, dia kini menguruskan lima kolam ikan milik keluarganya di Rantau Panjang, Kelantan. 

Menurutnya, dia gagahkan juga hadir pada majlis konvokesyen hari ini biarpun baru ditimpa musibah apabila kolam ikannya turut terjejas akibat banjir baru-baru ini. 

“Dalam kejadian itu, saya mengalami kerugian kira-kira RM9,000 selepas sangkar ikan rosak dan tebing kolam runtuh selain ikan peliharaan terlepas apabila air melimpah.

“Ketika ini, saya mengusahakan ternakan ikan air tawar termasuk ikan talapia, keli dan patin dengan dibantu dua orang pekerja. 

“Alhamdulillah, ketika ini saya mampu memperoleh sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sebulan hasil jualan ikan berkenaan,” katanya. 

Mohd Zakaria juga adalah penerima Anugerah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Industri Makanan 2020 serta Anugerah Khas Ketua Setiausaha MAFI 2020. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN