JOHOR BAHRU: Perdana Menteri berharap inisiatif melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Bhd. yang merupakan sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan akan membantu lebih ramai memiliki rumah sendiri.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau memahami kesukaran masyarakat terutama mereka yang bekerja sendiri dan tidak memiliki slip gaji untuk memohon pinjaman bagi membeli rumah.
Jelasnya, projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang berkolaborasi antara SJKP melalui Skim Pembiayaan Perumahan Inovatif PR1MA adalah contoh wajar yang dijadikan penanda aras dalam usaha kerajaan dan industri menyediakan akses kewangan mudah kepada pembeli rumah.
“Inisiatif yang mesra pembeli ini pastinya dapat membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai Keluarga Malaysia khususnya golongan muda dan berpendapatan pertengahan untuk memiliki rumah PR1MA tanpa bimbang tentang pembiayaan perumahan.
“Usaha ini adalah selari dengan pengumuman yang dilakukan semasa Belanjawan 2022 di mana sebanyak RM2 bilion diperuntukkan kepada SJKP untuk melaksanakan amanat ini,” katanya ketika berucap semasa melawat Residensi Larkin Indah, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi PR1MA, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahaya.
Ismail Sabri berkata, skim yang dilaksanakan itu selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia serta Kempen Pemilikan Rumah, ‘Home Ownership Programme’ (HOPE) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Saya difahamkan, sebagai permulaan ia ditawarkan kepada pembeli kediaman Residensi Larkin Indah ini sebelum diperluaskan ke projek PR1MA yang lain.
“Ini pastinya dapat memberi keselesaan kepada para pembeli rumah PR1MA pada masa akan datang untuk merancang pembelian rumah mereka dengan lebih yakin,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan terus menyokong usaha PR1MA menjalankan mandat mereka dan membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri yang membolehkan penghuninya menikmati kehidupan yang mampan. –UTUSAN ONLINE