SHAH ALAM: Susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara, Politeknik Premiere Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PPSSAAS) mengambil keputusan menangguhkan kemasukan mahasiswa ke kampus sehingga 14 Mac depan.
Sehubungan itu, seramai 317 mahasiswa baharu PPSSAAS bagi sesi dua 2021/2022 yang mendaftar secara dalam talian pada 1 Mac lalu menjalani Minggu Suai Kenal (MSK) secara maya dan berjaya menamatkan program orientasi tersebut dalam suasana norma baharu hari ini.
Menurut Pengarahnya, Dr. Mohd Zahari Ismail pihak pengurusan terpaksa menjadualkan semula tarikh pendaftaran mahasiswa ke kampus berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.
”Saya pasti para mahasiswa mendapatkan suntikan vaksin dan ramai juga sudah pun mengambil suntikan dos penggalak (booster). Bagi yang belum, saya sarankan agar berusaha mendapatkannya dengan secepat mungkin memandangkan kadar jangkitan yang tinggi ketika ini.
“Patuhlah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Jagalah diri dan buat yang terbaik untuk meningkatkan ‘survivability’ anda kerana suka ataupun tidak, kita harus belajar untuk hidup bersama-sama virus ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan MSK secara dalam talian hari ini.
Mohd. Zahari berkata, pelbagai aktiviti dijalankan secara dalam talian sepanjang seminggu program berlangsung antaranya sesi bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Jabatan Sukan, Kebudayaan dan Kokurikulum (JSKK), Unit Keusahawanan, Unit Peperiksaan serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Jelasnya lagi, pada penghujung program MSK, para mahasiswa berpeluang bertemu pihak pengurusan PPSSAAS dan kemudiannya diraikan dalam Majlis Penutupan MSK.
“MSK yang berkonsepkan orientasi wajib dijalani para mahasiswa baharu sebagai proses persediaan dan pendedahan mengenai alam pendidikan, budaya dan aspek pembinaan sahsiah di politeknik,”katanya. –UTUSAN ONLINE