Polis siasat pelaburan Al Kahtifah Trust, Madinah Mining - Utusan Malaysia

Polis siasat pelaburan Al Kahtifah Trust, Madinah Mining

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua skim pelaburan dikenali Al Kahtifah Trust dan Madinah Mining yang didakwa menggunakan nama Pengasas dan Presiden AUF MBZ Consortium, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas disyaki menjalankan penipuan pelaburan tidak wujud.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sebanyak 38 kertas siasatan membabitkan skim pelaburan Al Kahtifah Trust dengan kerugian sebanyak RM468,870 telah dibuka.

Kata beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 28 kertas siasatan dibuka bagi skim pelaburan Madinah Mining membabitkan kerugian berjumlah RM343,282.

“Siasatan berhubung kedua-dua skim pelaburan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Kamarudin berkata, hasil siasatan dilakukan, kedua-dua skim pelaburan itu dikesan mulai aktif sejak penghujung tahun lalu dengan menggunakan media sosial untuk mencari pelabur.

Jelas beliau, modus operandi digunakan adalah dengan menawarkan pelaburan serendah RM500 dengan kadar keuntungan 100 peratus dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja.

“Bagi meyakinkan pelabur, penganjur pelaburan ini mendakwa skim ditawarkan adalah patuh syariah dan mempunyai kelulusan dari Bank Negara Malaysia (BNM),” jelasnya.

Tambah Mohd. Kamarudin, siasatan berhubung skim pelaburan berkenaan masih dijalankan dan pihak polis memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan.

“Orang ramai diingatkan supaya memberikan perhatian dan membuat semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

“Dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti ‘semak mule’ serta senarai amaran BNM, Suruhanjaya Sekuriti (EC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan,” jelasnya.

Terdahulu, Mahadi yang juga suami kepada selebriti, Datin Seri Heliza Helmi mendakwa namanya digunakan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud.

Beliau mengesan pihak dan individu terbabit menggunakan akaun palsu di media sosial seperti Facebook dan Instagram selain aplikasi sembang maya seperti Telegram untuk memperdaya mangsa.

Akibatnya, beliau dan syarikatnya menerima banyak kiriman mesej daripada mangsa yang mendakwa menanggung kerugian akibat ditipu sindiket berkenaan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN