GEORGETOWN: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dijalankan di 71 buah lokasi dalam 13 Parlimen seluruh Pulau Pinang sejak Disember tahun lalu berjaya merekodkan jualan melebihi RM2 juta setakat hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, selain itu, PJKM di seluruh negeri ini juga mencatatkan kehadiran seramai 83,568 pengunjung.
Jelas beliau, angka itu menunjukkan PJKM menerima sambutan baik dalam kalangan penduduk setempat di kesemua lokasi terbabit sekali gus akan diteruskan pada masa depan.
“Pembeli disarankan supaya mengambil peluang yang ada di PJKM memandangkan barangan yang dijual di sini lebih murah iaitu antara 10 hingga 20 peratus daripada harga di pasaran,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau PJKM serta sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK) di pekarangan Masjid AlBukhary, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri , Peter J. Berinus Agang.
Menurut Abdul Halim, PJKM turut mendapat kerjasama agensi kerajaan lain seperti Padiberas Nasional Berhad (Bernas); Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM); Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama); pasar raya dan pengusaha tempatan.
“Antara barang yang dijual sepanjang program ini seperti ayam, telur ayam, ikan, sayur-sayuran, barangan kering seperti bawang, cili kering, gula, minyak masak, tepung gandum, beras, makanan dalam tin dan barangan proses.
“PJKM ini diadakan untuk membantu golongan B40 mendapatkan barangan keperluan harian dengan lebih murah dan untuk program kali ini, kita jangka lebih 1,000 pengunjung akan datang ke sini hari ini,”katanya.
Tambahnya, PJKM Pulau Pinang diharap dapat menjadi pemangkin kepada pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah.
Dalam perkembangan lain, Peter J. Berinus Agang berkata, PPDNHEP Pulau Pinang akan meningkatkan pemantauan harga barangan pada bulan Ramadan nanti.
“Skim kawalan harga akan diumumkan nanti dan pasukan penguat kuasa akan sentiasa berada di lapangan untuk menjalankan pemantauan bagi memastikan harga kekal stabil.
“Pengguna juga boleh menyalurkan kepada KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya jika berlaku sebarang kenaikan harga di pasaran,” katanya. –UTUSAN ONLINE