Perak minta maaf, tidak dapat bekalkan air mentah ke Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Perak minta maaf, tidak dapat bekalkan air mentah ke Pulau Pinang

SAARANI Mohamad (kiri) beramah mesra dengan murid yang menerima kelengkapan persekolahan pada Program Seronok Ke Sekolah di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak tidak dapat memenuhi hasrat Pulau Pinang untuk membeli air mentah dari negeri ini disebabkan bekalan air untuk kegunaan domestik tidak mencukupi.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu diputuskan dalam pertemuan beliau dengan delegasi Pulau Pinang yang diketuai Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow di sini pada Selasa lalu.

Menurut Saarani, pertemuan itu diadakan berikutan Pulau Pinang yang dijangka menghadapi masalah bekalan air menjelang tahun 2025 mahu membeli air mentah dari Perak. 

Beliau berkata, namun kajian yang telah dibuat menunjukkan air untuk kegunaan negeri Perak sendiri tidak sepenuhnya mencukupi untuk sektor pertanian, industri dan kegunaan penduduk.

“Kalau kita ambil ambil kira kawasan pertanian di Kerian, taburan air di Empangan Bukit Merah yang kering menyebabkan kita terpaksa menggunakan kaedah lain, iaitu menggunakan pembenihan awan untuk mendapatkan sumber hujan dan  ini menunjukkan dalam Perak pun kita ada masalah bekalan air.

“Pada waktu sama, menjelang tahun tahun 2050, dijangkakan penduduk Perak akan berjumlah tiga  juta orang, bermakna lagi ramai orang akan menggunakan air. Perak akan mula  didatangi pelabur yang ingin membuka kilang perindustrian dan kilang-kilang ini memerlukan air yang banyak.

“Jadi, tak betullah kalau kita nak beri air kepada negeri lain sedangkan kita juga akan menghadapi masalah.  Jadi dalam perjumpaan itu, Perak  meminta maaf, kita bersimpati dengan masalah Pulau Pinang tapi Perak tak dapat membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Seronok ke Sekolah Tahun 2022  dan perasmian Pejabat Sekreteriat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) di sini hari ini.

Saarani berkata, Pulau Pinang menyatakan berhasrat untuk membeli air mentah dari Sungai Perak.

Menurutnya, mengenai hasrat itu, delegasi dari Pulau Pinang dimaklumkan  terdapat empat empangan hidroelektrik di sepanjang Sungai Perak yang membekalkan elektrik untuk kegunaan negara.

Beliau berkata, takungan air di semua empangan itu ada sukatannya dan jika arasnya berkurangan,  ini akan menjejaskan prestasi setiap empangan.

“Kalau Pulau Pinang ambil air daripada mana-mana empangan ini, sudah tentu TNB tak bersetuju kerana ini akan menjejaskan prestasi empangan TNB.

“Pulau Pinang ada mencadangkan mahu mengambil air di bawah Empangan Chenderoh tapi jika kita pam atau air di bawah empangan itu dibekalkan ke Pulau Pinang, maka penduduk di Kampung Gajah, Teluk Intan dan Parit pula akan kering.

“Jadi kita minta maaf, kita tak dapat bekalkan air mentah kerana kita perlu mengadun dan membuat empangan dan memproses dan menyediakan air yang cukup untuk orang negeri Perak. Itulah keputusannya, kita minta maaf, kita tak dapat bekalkan air mentah,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN