GEORGETOWN: Sekumpulan 14 penduduk negeri ini yang mendakwa ditipu untuk membeli rumah mampu milik kerajaan negeri Pulau Pinang menuntut supaya Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta Timbalan Ketua Menteri, P. Ramasamy membela nasib mereka.
Wakil penduduk berkenaan, K. Elemperu Valuthi mendakwa, mereka telah menyerahkan wang pendahuluan antara RM3,000 hingga RM8,000 kepada bekas pembantu khas Ramasamy sejak empat tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, mereka tidak memperoleh tawaran rumah mampu milik yang dijanjikan.
“Kami difahamkan terdapat 30 mangsa penipuan bekas pegawai berkenaan yang meminta wang pendahuluan daripada mereka untuk mendapatkan rumah mampu milik kerajaan negeri dan mereka menanti rumah ini sejak empat tahun lalu.
“Namun, selepas mendapat tahu kami akan mengadakan bantahan serta serahkan memorandum kepada Ketua Menteri dan Timbalannya, bekas pegawai khas itu dikatakan telah membayar semula wang pendahuluan kepada kira-kira 16 orang,” katanya.
Elemperu ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada wakil pejabat Ketua Menteri di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.
Terdahulu, berlaku ketegangan ekoran perang mulut antara kumpulan Elemperu dan beberapa individu yang mendakwa mereka adalah penyokong Ramasamy.
Namun, kehadiran pantas anggota polis membantu meleraikan kekecohan yang hampir tercetus antara kedua-dua pihak.
Menurut Elemperu, pihaknya telah melaporkan penipuan berkenaan kepada Ramasamy, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2019, namun, tiada tindakan diambil.
“Kali ini, kami berharap isu berkaitan penipuan kepada orang ramai yang memerlukan rumah dapat ditangani segera oleh pihak terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa penipuan, Ramyee, 63, berkata, dia menyerahkan RM3,000 kepada bekas pembantu khas Ramasamy yang berjanji untuk membantu mempercepat urusan pinjaman rumah mampu milik untuk anaknya.
“Saya serahkan wang berkenaan tiga tahun lalu, namun, sehingga kini, tiada apa-apa tawaran rumah mampu milik yang saya terima,” katanya.
Sementara itu, Ramasamy ketika diminta mengulas isu berkenaan berkata, beliau tidak tahu mengenai isu berkaitan penipuan dan skandal tersebut. –UTUSAN ONLINE