PETALING JAYA: Varian Omicron lebih mudah dijangkiti kerana ia membiak padabahagian atas saluran penafasan.
Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, disebabkan kadar pembiakan Omicron tertumpu pada bahagian atas saluran penafasan, maka, ia kurang memberi kesan kepada paru-paru.
“Varian Omicron mempunyai 32 mutasi dengan keupayaan jangkitan 2.7 hingga 3.7 lebih tinggi berbanding varian Delta. Kes Omicron pada Disember adalah dari pintu masuk antarabangsa sahaja tetapi situasi itu berubah pada Januari apabila kes penularan tempatan mula dilaporkan dalam negara.
“Berbanding dengan varian Delta, didapati varian Omicron lebih suka menjangkiti dan membiak pada bahagian atas saluran pernafasan (upper respiratory tract) dan sifat ini memberikan nilai tambah kepada keupayaannya untuk menjangkiti secara mudah serta pantas.
“Di samping itu juga, varian Omicron didapati kurang berkapasiti untuk menjangkiti tisu paru-paru. Ini mungkin menjelaskan mengapa individu yang dijangkiti oleh varian tersebut mempunyai jangkitan yang lebih ringan berbanding dengan varian Delta,” jelasnya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan lisan.
Bagi menghadapi cabaran gelombang Omicron ini Kementerian Kesihatan juga telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19, menambah baik pengurusan Covid-19 melalui pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support), usahasama dengan fasiliti kesihatan swasta dalam pengurusan kes Covid-19, membangunkan Covid-19 Clinical Care pathway bagi tujuan memulakan ubat antiviral terkini dan mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF 2.0).
Perkara itu dibangkitkan oleh Oscar Ling Chai Yew [Sibu-PH] yang minta penjelasan tahap keseriusan Omicron berbanding dengan varian lain serta juga jumlah kematian yang berlaku mengikut varian serta inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) mencegah kes peratus Omicron atau Covid-19 daripada meningkat. –UTUSAN ONLINE