KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak bertanggungjawab perihal pemain badminton negara bergerak secara professional.
Menjawab soalan William Leong Jen Keen [Selayang-PH], timbalan Menteri KBS, Datuk Sri Ti Lian Ker berkata, pihak kementerian tidak mempunyai bidang kuasa untuk masuk campur dalam hal ehwal mahupun dasar persatuan kecuali jika terdapat isu yang telah dipanjangkan kepada Pesuruhjaya Sukan.
“Isu dua pemain yang membuat keputusan untuk bermain secara bersendirian dan bukan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia, telah mencuri perhatian peminat sukan bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
“Kementerian bersama-sama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai perancangan jangka panjang dan rapi serta memerlukan pelaburan yang besar dan komitment yang tinggi bagi melahirkan seorang atlet bertaraf antarabangsa.
“Pelaburan ini meliputi komitmen kerajaan, peranan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan juga kesinambungan penajaan dalam memastikan program-program pembangunan atlet dari peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat antarabangsa dapat dirancang dan dilaksanakan,” jelasnya.
Menurut Lian Ker, atlet yang membuat keputusan untuk bergerak secara sendirian/professional dan mengetepikan komitment asal akan mengetepikan matlamat badan sukan berkenaan dan perancangan awalan atau asal untuk atlet dan pasukan.
“Ini akan mempunyai kesan dan impak serta membawa implikasi kepada PSK dimana akan mewujudkan konflik di antara badan sukan, pasukan atlet dan juga penaja.
“Badan sukan yang berkaitan berkemungkinan akan berhadapan dengan tindakan undang-undang disebabkan perjanjian yang telah dimeterai dengan mengambil kira kehadiran atlet-atlet yang dikenalpasti dalam program sukan berkenaan,” katanya. –UTUSAN ONLINE