fbpx

Pahang sekat bawa masuk, ternak, lepas ikan asing

MOHD. SOFFI Abd. Razak (depan, dua dari kanan) bersama Abdullah Jaafar (kanan) melepaskan ikan Lampam Sungai dan Kelah di jeti Sungai Lipis berdekatan Kampung Melayu Benta di Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

LIPIS: Jabatan Perikanan Pahang (JPP) sedang merangka peraturan bagi Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang bagi mengambil tindakan mahkamah atau kompaun terhadap individu yang menternak dan melepaskan ikan asing dalam perairan sungai dan ternakan darat (kolam) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi  Abd. Razak berkata, peraturan itu wajar digubal segera bagi menghindarkan individu atau penternak menyimpan dan menternak di sungai, kolam ataupun melepaskan ikan asing di perairan negeri.

“Peraturan ini masih dalam proses rangkaan oleh JPP untuk menangani ancaman ikan pemangsa spesies asing atau invasif yang juga menjadi prosak habitat yang sudahpun ditemukan mendiami perairan umum sungai utama negeri ini.

“Hal ini merupakan fenomena baharu dan masih belum serius, tetapi kerajaan negeri dan JPP akan bersedia dengan peraturan tersebut dan akan dibawa ke peringkat. sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan penguatkuasaan peraturan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum Seluruh Negara Peringkat Negeri di Sungai Lipis berdekatan Kampung Melayu Benta di sini.

Yang hadir sama, Pengarah JPP, Abdullah Jaafar

Mohd. Soffi berkata, peraturan tersebut akan dimasukkan dalam Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang, bagi membolehkan individu dan penternak yang tidak bertanggungjawab dikenakan kompaun atau tindakan mahkamah berasaskan kesalahan berkenaan.

Menurut beliau, spesies invasif atau pemangsa sudah ditemukan di perairan sungai utama negeri ini iaitu antaranya ikan patin ekor merah, ikan buaya, ikan baung ekor merah, pacu, piranha yang bersaiz gergasi yang kemungkinan pada awalnya diternak kemudian terlepas apabila sangkar dan kolam pecah berikutan banjir sebelum ini.

“Akibat banjir, spesies ini tersebar sebagai hidupan liar dalam sungai sehingga memakan ikan liar tempatan seperti kelah, patin, kerai, baung dan sebagainya malah sekiranya keadaan ini berlarutan kemungkinan spesies asli tempatan akan pupus serta ancaman kepada ekosistem,” katanya.

Sehubungan itu katanya, penghulu, ketua kampung, persatuan nelayan darat, individu wajar melaporkan kepada pihak berkuasa seperti Unit Penguatkuasaan Bersepadu Kerajaan Negeri, JPP, polis dan pihak berkuasa tertentu sekiranya ternampak kegiatan ternakan dan pelepasan ikan asing supaya tindakan segera diambil terhadap individu terbabit.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd. Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berkata,  sempena program pelepsan ikan ke perairan umum serentak seluruh negara hari ini, JPP telah mengadakan pelepasan sejumlah 25,000 ekor benih ikan Lampam Sungai dan 300 ekor Ikan Kelah di Sungai Lipis berdekatan Kampung Melayu Benta hari ini.

“Kita juga memberikan benih percuma kepada seramai 15 orang penternak akuakutur menerusi sumbangan (benih) daripada Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Bukit Tinggi (Bentong) dan PPA Perlok (Jerantut) dan penyerahan permit menangkap ikan bagi perlindungan, penambahan dan pemulihraan spesies ikan tempatan serta pada masa yang sama menjadi sumber makanan penduduk dan pendapatan penternak menerusi pasaran ikan liar sungai di negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!