SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan 1,279 permit bazar Ramadan kepada para penjaja yang akan berniaga di sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Menurut Timbalan Datuk Bandar, Mohd. Rashidi Ruslan, sebanyak 31 lokasi tapak bazar disediakan dan antara lokasi tapak bazar adalah di Seksyen 6, 7, 8, 16,17, 18,19, 20, 24, 25,
27, 28, 31,33, 35, U2, U3, U5, U8, U10, U13, U19 dan U20.
“Pada hari ini juga telah diadakan taklimat bazar Ramadan dan penyerahan permit bazar Ramadhan MBSA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, taklimat bazar tersebut diadakan selama empat hari mulai hari ini sehingga 24 Mac ini.
Menurut Mohd. Rashidi lagi, kadar bayaran permit bagi jenis jualan makanan dan minuman bagi tapak MBSA adalah di antara RM207 hingga RM297 mengikut kategori yang ditetapkan.
“Pihak MBSA memberikan penekanan terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pencegahan Covid-19 kepada para penjaja selain kepentingan menjaga kebersihan sewaktu berniaga.
“Selain daripada taklimat pengendalian makanan dan SOP pencegahan Covid-19, turut diadakan aktiviti ceramah berunsur kerohanian,” ujarnya.
Jelasnya lagi, MBSA mengenakan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh setiap pemohon antaranya pemohon haruslah warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas.
Dalam pada itu, Mohd. Rashidi memaklumkan, pemohon juga perlu mematuhi syarat kesihatan antaranya memakai apron, topi dan kasut semasa menjalankan perniagaan.
“Para peniaga dan pembantu juga diwajibkan untuk mendapatkan suntikan antityphoid (TY2) dan menghadiri kursus pengendalian makanan.
“Peniaga juga hanya dibenarkan berniaga di tempat yang diluluskan dan diminta menjaga kebersihan di kawasan tapak berniaga atau tindakan kompaun akan dikenakan jika peniaga meninggalkan tapak dalam keadaan yang kotor dan tidak dikemaskan,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE