KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Anak Kujat menafikan dakwaan keputusannya keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) kerana kerajaan di ambang membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada 11 April ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, keputusan itu tidak berkait dengan hal tersebut kerana ia lebih kepada isu tidak menerima peruntukan daripada kerajaan Persekutuan ketika berada di posisi sebagai pembangkang di Sarawak.
Beliau bagaimanapun menyifatkan, pembentangan RUU Anti Lompat Parti sebagai inisiatif baik bagi mengekalkan imbangan kuasa parti-parti politik di negara ini.
“Ya, saya setuju dengan usul membentangkan rang undang-undang ini kerana ia baik untuk semua pihak supaya tidak melompat parti. Jika berpeluang dibentangkan, saya juga akan mengambil bahagian untuk meluluskannya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 24 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan membentangkan bacaan kali pertama RUU Anti Lompat Parti pada 11 April ini di Dewan Rakyat.
Pada Mac 2019, Masir pernah menganggotai Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang merupakan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), bagaimanapun, beliau meletak jawatan dan kemudian menyertai PSB diterajui Presiden, Datuk Seri Wong Soon Koh.
Masir pernah bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lalu di Balai Ringin, namun tewas kepada Datuk Snowdan Anak Donald Lawan (GPS) dengan undi majoriti 1,285.
Mengulas keputusannya keluar parti dan menyokong sepenuhnya kepimpinan Ismail Sabri mentadbir negara, ia diharap dapat memudahkannya menerima lebih banyak peruntukan daripada kerajaan pada masa akan datang.
Justeru, katanya, setakat ini Masir memilih untuk menjadi ahli wakil rakyat Bebas sehingga Parlimen dibubarkan dan tidak menyertai mana-mana parti politik.
“Setakat ini, saya tidak berniat menyertai mana-mana parti politik, tetapi akan menyokong kerajaan dan berharap mendapat peruntukan untuk kawasan saya.
“Saya juga tiada masalah dengan pimpinan PSB walaupun selepas PRN Sarawak tahun lalu. Tetapi setakat ini, saya tidak menerima peruntukan membantu rakyat di kawasan saya. Jadi, saya harap tahun ini memberi peruntukan kepada saya untuk baik pulih kemudahan di kawasan kampung termasuk surau dan masjid,” katanya. – UTUSAN










