PONTIAN: Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) tetap berpegang teguh kepada semangat setiakawan bersama Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO walaupun tidak diberi kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presidennya, Datuk Seri R. S. Thanenthiran berkata, mereka sedia memberi laluan kepada UMNO kerana yang lebih utama adalah kepentingan buat BN berbanding perbalahan berhubung kerusi.
Menurutnya, pihaknya telah ditawarkan satu kerusi namun bersetuju memberi laluan kepada calon UMNO bagi membolehkan parti itu menang dengan mandat besar.
“Pada mulanya, Pengerusi BN telah beritahu Makkal Sakti akan diberi peluang untuk bertanding dalam PRN Johor, satu kerusi. Tetapi pada saat akhir kami dapati UMNO perlukan mandat besar sebagai parti teras.
“Kerusi terhad kerana parti komponen BN, iaitu MCA bertegas mahu 15 kerusi dan MIC juga bertegas mahu empat kerusi, jadi atas semangat setiakawan kami beri laluan kepada calon UMNO kerana Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta bantuan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengikuti program walkabout Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan Sanglang, Benut, di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Tambah Thanenthiran, apa yang lebih penting buat pihaknya adalah aspirasi yang dibawa BN untuk kesejahteraan masyarakat Johor dan bagi meningkatkan lagi peluang kemenangan dalam PRN Johor ini.
“Apa yang penting adalah calon bertanding itu membawa logo dacing, itu lebih utama berbanding dia berasal dari parti mana, kami tidak terasa hati dan akan terus kekal setia bersama BN.
“Perkara ini dibuat secara keputusan bersama, Makkal Sakti bersetuju beri laluan kepada UMNO, begitu juga Pengerusi Makkal Sakti Johor, Datuk Seri Dr. M. Suriya, beliau juga setuju,” ujarnya.
Pada 30 Januari lalu, Thanenthiran dilaporkan berharap pihaknya akan diberi peluang untuk bertanding dalam PRN Johor atas kesetiaan selama 14 tahun yang ditunjukkan parti itu bersama BN. – UTUSAN