LIMA SOALAN
MUKADIMAH
TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) ini agak optimis parti itu boleh menang lebih 10 kerusi di Johor Sabtu ini.
Kata DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB, sentimen 22 bulan pentadbiran PH yang gagal sebelum ini tidak sedikit pun menggugat keyakinan rakyat Johor memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH), khususnya Amanah.
Berikut hujah Ahli Parlimen Pulai yang juga calon kerusi DUN Simpang Jeram kepada wartawan Utusan Malaysia, AHMAD FADHLULLAH ADNAN semalam.
UTUSAN: Peluang Amanah di 16 kerusi yang bertanding?
Berbaki tiga hari lagi kempen, saya yakin dari sambutan pengundi, Amanah dapat kekalkan sembilan kerusi sebelum ini.
Dari 16 kerusi, berapa sasaran menang?
Kita sasar untuk kekalkan sembilan yang kita menang sebelum ini dan pertambahan dua atau tiga lagi kerusi. Sekurang-kurangnya 12 semuanya.
Adakah sentimen 22 bulan PH pengaruhi pengundi memihak kepada Amanah?
Walaupun kita baru dan ada kelemahan (apabila memerintah ketika itu), tetapi rakyat boleh bandingkan selepas jatuh kerajaan (PH). Negara tidak stabil, politik tidak stabil dan penyelewengan. Di situ perbezaan nyata yang rakyat boleh fikir.
Dicalonkan semula untuk DUN Simpang Jeram, YB yakin menang? Hampir empat tahun saya rasa saya sudah buat terbaik. Seluruh peruntukan sampai kepada rakyat. Tiada isu penyelewengan dan mereka (di DUN Simpang Jeram) sudah lama kenal saya. Saya pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (dalam pemerintahan PH), dengan itu faktor juga untuk menang.
Pecutan akhir kempen, strategi?
Kita terus dekati pengundi seramai mungkin melalui teknologi maklumat sedia ada. Pengundi luar pastikan anda pulang mengundi 12 Mac ini. – UTUSAN










