Kes penderaan kanak-kanak cecah 1,910 sejak setahun lalu - Utusan Malaysia

Kes penderaan kanak-kanak cecah 1,910 sejak setahun lalu

MOHD. Khairuddin Othman menjelaskan isu penderaan kanak-kanak di Selangor selama setahun ketika negara berhadapan pandemik Covid-19 dalam Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2022 di Dewan Annex, Bangunan SUK di Shah Alam, Selangor, hari ini. - Gambar SelangorTV
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak di negeri ini ketika negara sedang berdepan wabak pandemik antara Mac 2020 sehingga Mac tahun lalu mencecah 1,910 kes.

Menurut Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd. Khairuddin Othman, statistik tersebut berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor (JKM).

“Jenis penderaan yang direkodkan melibatkan penderaan fizikal 686 kes, seksual (606), emosi (63) dan pengabaian 555 kes,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mazwan Johar mengenai gejala sosial yang berbangkit akibat pandemik 

Covid-19 dalam Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2022 di Dewan Annex, hari ini.

Mohd. Khairuddin berkata, selain itu, jenayah indeks gejala sosial mencatatkan 17,992 kes melibatkan jenayah bunuh 80 kes, rogol 364 kes, samun berkawan tanpa bersenjata api 1,798 kes, samun tanpa bersenjata api 1,233 kes dan kesalahan mencederakan  1,156 kes.

Mengulas mengenai langkah mengatasi gejala sosial tersebut, beliau menjelaskan, kerajaan negeri mewujudkan Program Pakej Kita Selangor yang memberi fokus kepada tiga strategi utama.

Strategi tersebut adalah menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat menyelamatkan industri dan sektor ekonomi serta usahawan di Selangor dan kawalan kesihatan untuk mengekang penularan wabak.

“Kerajaan negeri juga mengadakan Program Karnival Kerjaya yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pencari kerja di Selangor dengan sasaran sebanyak 25,000 peluang pekerjaan, sekaligus dapat mengatasi kadar pengangguran di negeri Selangor yang menjadi salah satu punca berlakunya masalah sosial yang semakin meningkat disebabkan Covid-19.

“Perkhidmatan kaunseling dan psikologi secara percuma kepada orang awam melalui Pusat Kaunseling Selangor (PKS) atau lebih dikenali sebelum ini sebagai ‘Talian Sahabat’ juga disediakan sebagai alternatif pemulihan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN