MELAKA: Kadar sewa yang kompetitif bagi penggunaan infrastruktur di Makmal Building Information Modelling (BIM) membantu kontraktor G1 sehingga G4 merancang projek pembinaan dengan lebih cekap dan berkesan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebanyak 16 buah makmal BIM akan dibina di seluruh negara dengan kos RM40.2 juta.
Beliau berkata, semua pemain industri pembinaan terutama kontraktor kecil boleh mengakses kemudahan tersebut.
“Jika setiap syarikat wajib menggunakan BIM mereka perlu membeli lesen, peralatan dan perisian yang mana harganya agak mahal. Jadi kami ingin membantu kontraktor kecil dari G1 hingga G4 melalui makmal BIM.
“Mereka boleh datang ke pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia dan menyewa peralatan serta perisian berkenaan. Kita akan memberikan kadar sewaan yang kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Aspirasi Kerjaya Pembinaan CIDB 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka Ayer Keroh di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad berkata, Kementerian Kerja Raya menerusi CIDB akan membina Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan cawangan baharu CIDB Melaka dalam usaha memperkukuh latihan kemahiran industri pembinaan tempatan.
Menurutnya, satu lokasi strategik dengan keluasan 2.023 hektar sedang dikenal pasti sebagai tapak yang sesuai untuk pembangunan berkenaan.
“CIDB telah dan sedang mencari lokasi yang sesuai untuk membina dua kemudahan penting itu kerana ia akan memberi manfaat besar kepada kontraktor dan pekerja industri pembinaan di Melaka. Buat masa ini mereka perlu ke Tampoi, Johor atau Kuala Lumpur bagi mengikuti latihan.
“Melaka pula berada di tengah-tengah. Jadi kita mahu mewujudkan pusat di sini kerana lebih mudah diakses memandangkan Melaka termasuk dalam zon wilayah selatan,” ujarnya.-UTUSAN









