SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mengeluarkan kad pengesahan lengkap vaksinasi kepada rakyatnya yang sudah pun menerima suntikan vaksin Covid-19 susulan terdapat dakwaan caj dikenakan oleh pengendali aplikasi MySejahtera.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, tidak adil apabila terdapat caj dikenakan bagi mengeluarkan sijil di dalam aplikasi MySejahtera.
“Kita tidak dimaklumkan mengenai hal caj ini daripada pihak MySejahtera sebelum ini dan tidak adil untuk mereka buat macam ini.
“Bagaimanapun, rundingan lanjut di antara pihak kerajaan negeri dengan pengendali berhubung perkara ini sedang berlangsung,” katanya dalam Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2022 di Dewan Annex, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan yang ditanyakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berhubung isu terdapat beberapa rakyat negeri itu yang masih belum mendapat sijil vaksinasi meskipun sudah lengkap divaksinasi.
Sementara itu, Dr. Siti Mariah memaklumkan bahawa kerajaan negeri masih mempunyai 63,132 dos vaksin Sinovac ketika ini, dengan tarikh luput kesemua dos tersebut adalah pada tahun hadapan.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri akan meneruskan program Vaksin Selangor (SelVAX), yang termasuk program SelVAX Kids, iaitu program pemberian vaksin kepada kanak-kanak berumur lima tahun.
“Rakyat Selangor akan diberikan keutamaan untuk mendapatkan baki dos ini, memandangkan warga asing boleh mendapatkan vaksin SelVAX Industri,” katanya. –UTUSAN ONLINE