fbpx

Kemas kini kurikulum pengajian institut latihan pertanian selaras zaman

kurikulum
RONALD Kiandee (tengah) beramah mesra bersama penerima anugerah pada Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-10 Tahun 2022 di PICC, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Institut-institut latihan pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diminta sentiasa menyemak dan menambah baik kurikulum sedia ada. Ini supaya sejajar dengan perkembangan sektor pertanian masa kini. 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pada masa sama, mutu pengajaran dan pembelajaran di semua institut berkenaan dapat dikekalkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. 

“Ia penting bagi memastikan graduan yang keluar kelak dapat memenuhi keperluan pemegang taruh iaitu sektor awam mahupun swasta.

“Kerajaan telah dan akan terus memberikan peruntukan yang cukup bagi meningkatkan infrastruktur dan kemudahan di institut-institut latihan untuk mempertingkatkan lagi mutu latihannya,” katanya. Beliau berkata demikianketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-10 Tahun 2022 di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. 

Katanya, MAFI melalui jabatan-jabatan dan agensi-agensinya akan terus melaksanakan program latihan bagi melahirkan belia yang kompeten dalam semua subsektor agromakanan. 

Ronald berkata, beliau dimaklumkan, kira-kira 65 peratus graduan institut latihan MAFI yang tamat pengajian pada tahun 2021 sudah diterima bekerja dalam pelbagai sektor. 

Terdahulu, seramai 1,712 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-10 Tahun 2022 membabitkan  graduan yang tamat pengajian bagi tahun 2020 dan 2021.

Ia terdiri daripada 288 orang graduan Diploma Kemahiran Malaysia, 711 graduan Sijil Kemahiran Malaysia, 543 graduan Sijil Pertanian Malaysia, 83 graduan Sijil Veterinar Malaysia dan 87 graduan Sijil Perikanan. 

Setakat ini, MAFI telah berjaya mengeluarkan seramai 21,759 graduan terlatih sejak tahun 1969 menerusi 14 pusat latihan pertanian di seluruh negara. –UTUSAN 

 

 

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!