Kedutaan Rusia siar mesej berbahasa Melayu jelas konflik dengan Ukraine - Utusan Malaysia

Kedutaan Rusia siar mesej berbahasa Melayu jelas konflik dengan Ukraine

PAVEL Naydenov berucap menerusi laman sosial Kedutaan Besar Rusia bagi menjelaskan rasional negara itu menawan Ukraine. – Foto ihsan Kedutaan Besar Rusia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Meskipun dikecam masyarakat dunia, Kedutaan Besar Rusia di Malaysia ada cara tersendiri bagi menawan warganet yang tampak cenderung bersimpati kepada Ukraine.

Terbaharu, pejabat misi diplomatik negara terbesar di dunia itu memuat naik rakaman visual mengenai pencerahan konflik dengan Ukraine dalam mesej berbahasa Melayu sepenuhnya.

Ia disiarkan secara eksklusif menerusi laman sosial rasmi kedutaan berkenaan yang memiliki sekitar 5,400 pengikut susulan misi ketenteraan dilancarkan Rusia pada 24 Februari lepas.

Paling unik, hantaran berkenaan disampaikan sendiri oleh Penolong Duta Besarnya, Pavel Naydenov yang fasih berbahasa Melayu dengan sasaran khusus untuk penonton di Malaysia.

Beliau yang juga bekas peserta Pertandingan Akhir Pidato Antarabanga Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015, ternyata petah dalam menghuraikan rasional pencerobohan Rusia.

“Salam sejahtera, nama saya Pavel dan dalam video ini saya ingin menyentuh mengenai latar belakang kenapa Rusia terpaksa melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine,” jelasnya.

Beliau yang mewakili Duta Besarnya, Naiyl Latypov menerusi rakaman yang berdurasi 3 minit 43 saat itu turut lengkap mengenakan baju Melayu warna biru gelap dan segak bersongkok.

Dengan tajuk ‘Alasan operasi tentera Rusia di Ukraine’, inisiatif bernada propaganda kuasa dunia itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen di negara ini sama ada pro atau kontra.

Mesej penerangan dalam bahasa kebangsaan itu ternyata memang tidak dituju khas kepada lebih 5,000 warga Rusia yang berada di Malaysia ketika ini sama ada bekerja atau belajar.

Apa yang menarik, ini juga merupakan penampilan kali kedua Pavel selepas muncul pada 27 Februari lalu dengan video bertajuk ‘Apa telah berlaku di Ukraine?’ selama 1 minit 58 saat.

Beliau turut muncul dengan berpakaian baju Melayu tanpa songkok bagi menghuraikan kisah di sebalik tabir konflik yang langsung memang tidak diceritakan oleh media Barat selama ini.

Langkah Kedutaan Besar Rusia amat proaktif menangkis dakyah seterunya, terutama Amerika Syarikat (AS) membuktikan ‘perang’ media massa membawa dimensi baharu konflik sejagat.

Negara terbesar di dunia itu turut mempunyai Pusat Kebudayaan dan Sains Rusia di Kuala Lumpur yang dibuka sejak 1981 setelah menjalinkan diplomatik dengan Malaysia pada 1967 lalu.

Malahan, dutanya sendiri merupakan Muslim sebagai tanda penghormatan Rusia yang ketika ini mempunyai lebih 20 juta umat Islam dan sejumlah 8,000 buah masjid di negara tersebut.

Hubungan Rusia dengan banyak negara Islam amat baik bahkan negara itu paling lantang memperjuangkan nasib isu Palestin ditindas rejim Israel yang disokong kuat oleh kerajaan AS.

Ini terbukti apabila Presiden Rusia, Vladimir Putin menjemput Presiden Palestin, Mahmoud Abbas merasmikan masjid terbesar di ibu kota Moscow dengan kapasiti 10,000 jemaah pada 2015. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.