SHAH ALAM: Kementerian Usahawan dan Koperasi (Kuskop) meminta usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dikecualikan daripada pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang bermula pada 1 Mei depan.
Menurut Menterinya, Tan Sri Noh Omar, usahawan PMKS turut mempunyai pekerja mereka sendiri dan pelaksanaan gaji minimum tersebut pasti memberi beban kewangan kepada mereka.
“Usahawan PMKS mempunyai pendapatan terhad yang mana mereka sendiri pun adakala mempunyai pendapatan tidak sampai RM1,500.
“Mungkin mereka mempunyai pekerja yang hanya dibayar RM600. Justeru kita berharap usahawan PMKS dikecualikan daripada pelaksanaan gaji minima tersebut,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Banjir Kepada Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pekerja di seluruh negara akan menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada kadar RM1,500 sebulan bermula Mei nanti.
Sementara itu, Noh memberitahu, beliau berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengenakan kompaun kepada usahawan PMKS yang berniaga di tempat tertentu di kawasan bandar.
“Kita berterima kasih kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana membenarkan usahawan PMKS berniaga di tepi jalan.
“Saya menyarankan kepada PBT lain untuk tidak mendenda usahawan PMKS yang berniaga di tepi jalan. Cukuplah diberi nasihat agar mereka berniaga mengikut kawasan yang sesuai,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE