LANGKAWI: Bakal pengantin yang ingin berkahwin di luar negara dinasihatkan elak menggunakan perkhidmatan ejen sindiket kahwin apabila sempadan negara mula dibuka pada 1 April nanti.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sebaliknya bakal pengantin terbabit perlu menggunakan saluran yang betul bagi mengelakkan timbul masalah selepas berkahwin.
“Yang paling penting, ikut cara yang betul dan ikut saluran yang betul kerana pendaftaran perkahwinan mengikut kaedah dan cara yang betul, tak kira nak kahwin di London, Amerika Syarikat serta Thailand.
“Pasangan yang mengikut perundangan dapat menjamin hak semua pihak termasuk suami, isteri dan soal anak-anak nak daftar kelahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (KPNCR) Seluruh Malaysia Kali Ke-44 di sini hari ini.
Pada majlis itu, Ahmad Marzuk turut melancarkan buku Gerbang Perkahwinan Edisi Ketiga terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menjadi panduan dan rujukan utama kepada pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga.
Utusan Malaysia pada 11 Mac lalu melaporkan keputusan kerajaan membenarkan pembukaan sempadan negara 1 April depan membawa ‘khabar gembira’ kepada pasangan yang mahu berkahwin di Thailand selepas sekian lama hasrat mereka tertangguh.
Sebelum ini, ejen-ejen nikah Siam mendedahkan lebih 300 pasangan dalam senarai menunggu melangsungkan perkahwinan di Thailand sebaik sahaja pintu sempadan negara dibuka dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat.
Ahmad Marzuk memberitahu, perkahwinan perlu bermula dengan kaedah yang menepati hukum syarak dan undang-undang bagi mengelakkan masalah berkaitan hak suami isteri atau pendaftaran kelahiran anak.
Sementara itu, dalam majlis yang sama, Ahmad Marzuk turut menekankan kepentingan kursus praperkahwinan menitikberatkan isu lelaki qawwam dalam kursus tersebut.
Katanya, lelaki qawwam adalah lelaki yang bertanggungjawab menyediakan bukan sahaja keperluan fizikal keluarganya seperti makan pakai dan tempat tinggal, tetapi juga menekankan aspek pendidikan awal di rumah untuk anak-anak.
“Lelaki qawwam ini bukan menunjukkan kejantanan dia, sampai boleh buat apa sahaja kepada keluarga, tetapi kepada tanggungjawab.
“Bukan sahaja tanggungjawab menyediakan segala infra diperlukan, bahkan dalam soal pendidikan, dan lain-lain lagi,” katanya.
Jelasnya, garis panduan lelaki qawwam ini telah dikeluarkan dan boleh diaplikasikan oleh penganjur kursus praperkahwinan di seluruh negara. –UTUSAN ONLINE