fbpx

‘Jangan ghairah nikah siam’

KIRA-KIRA 50 ejen terpaksa menutup ‘fail nikah’ di Thailand berikutan la­rangan rentas daerah dan negeri pada sepanjang tempoh PKP.

PUTRAJAYA: Umat Islam dinasihat supaya jangan terlalu ghairah untuk berkahwin di sempadan atau di luar negara terutama di Thailand selepas kerajaan membenarkan pintu sempadan negara dibuka semula kerana dibimbangi terjerat dengan sindiket pernikahan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, mereka yang ingin berpoligami diingatkan tidak memperjudikan hukum hakam kerana sekiranya pernikahan tidak mengikut peraturan atau undang-undang, ia boleh mengakibatkan perkahwinan berkenaan tidak sah.

Mohd. Na’im Mokhtar

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menegaskan, kebanyakan pasangan yang memilih berkahwin melalui sindiket tidak tahu status jurunikah, wali hakim dan saksi-saksi yang terlibat.

“Sindiket hanya mengutamakan keuntungan dan tidak mempedulikan tentang hukum hakam. Apabila sempadan negara dibuka semula, masyarakat tidak perlu ghairah untuk berkahwin di sempadan, jangan perjudikan hukum hakam.

“Undang-undang perkahwinan sedia ada adalah mudah dan boleh dipatuhi,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohd. Na’im, setiap perkahwinan di luar negara perlu mendaftarkan semula perkahwinan itu di negara ini untuk tujuan rekod perkahwinan yang dilihat satu keperluan atau maslahah utama.

Rekod perkahwinan adalah bukti sahih kepada kewujudan sesuatu perkahwinan mengikut undang-undang yang mana satu keperluan mengikut undang-undang (Seksyen 25 A303).

Katanya, sesuatu perkahwinan akan mewujudkan hak dan liabiliti kepada suami isteri khususnya dari sudut hukum dan undang-undang.

Mengikut rekod JKSM, bagi kes permohonan pengesahan dan pendaftaran pernikahan di mahkamah syariah yang kebanyakan melibatkan pernikahan luar negara, hanya 11,833 kes diluluskan berbanding 16,346 pengesahan perkahwinan yang didaftarkan bagi tempoh lima tahun.

Bagi pengesahan nikah poligami pula, katanya, hanya 7,908 kes diluluskan berbanding 10,279 pendaftaran sepanjang 2017 hingga 2021 yang direkodkan di seluruh negara.

“Jumlah ini kebanyakannya melibatkan pernikahan di luar negara. Ada juga yang berkahwin dalam negara tetapi menggunakan nikah sindiket dalam negara.

“Kemungkinan besar kes ditolak kerana pernikahan tersebut tidak sah, pemohon tidak mempunyai keterangan yang cukup untuk membuktikan pernikahan atau permohonan dibuang atau dibatalkan kerana ketidakhadiran,” katanya.

Beliau membangkitkan kebimbangan, sekiranya perkahwinan tidak didaftarkan, ia boleh jadi sesuatu perkahwinan itu tidak wujud atau tidak diakui oleh undang-undang.

Kata beliau, ia boleh memberikan risiko dalam beberapa perkara seperti isu berkaitan nasab anak, isu berkaitan hak nafkah isteri dan anak, isu berkaitan pemilikan harta dan isu-isu berkaitan locus untuk membuat tindakan di Mahkamah Syariah.

Selain itu jelasnya, terdapat risiko isu berkaitan permohonan untuk perceraian jika perkahwinan tidak didaftarkan kerana turut melibatkan pelanggaran undang-undang sekali gus boleh didakwa dan dihukum.

“Terdapat juga isu apabila berlaku kematian kerana ia boleh membawa masalah kepada isu berkaitan pewarisan atau faraid.

“Pendaftaran perkahwinan walaupun tidak pernah dinaskan dalam mana-mana hadis, tetapi cara ini memang diperlukan bagi mengelak daripada berlakunya penyelewengan atau kezaliman kepada pihak tertentu,” katanya.

Bagaimanapun Mohd. Na’im berkata, setiap perkahwinan orang Islam adalah sah jika memenuhi rukun dan syarat sah mengikut hukum syarak bagi memastikan segala urusan berjalan dengan baik, sistematik dan dapat melindungi hak atau kepentingan individu serta masyarakat.

Katanya, prosedur tertentu telah ditetapkan Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) sama ada perkahwinan kali pertama ataupun perkahwinan poligami.

“Seksyen 4, UUKI menyebut undang-undang berkenaan terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam sesuatu negeri dan yang bermastautin dalam negeri tetapi tinggal di luar negeri berkenaan.

“Kebenaran hakim diperlukan bagi kes-kes tertentu seperti poligami,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN