MELAKA: Isu kafe bas atau dahulunya popular dikenali sebagai Cafe Bustel yang menjadi ‘tukun’ dan mencacatkan pemandangan indah Pantai Klebang di sini sejak lapan tahun lalu, akhirnya tamat apabila kenderaan usang itu diangkat untuk dilupuskan.
Sebanyak 16 buah bas terlibat mula dipindahkan secara berperingkat oleh kontraktor dilantik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), bermula hari ini.
Pengerusi Persatuan Peniaga Dataran 1Malaysia Klebang, Hasyim Husin berkata, para peniaga terlibat kini menarik nafas lega apabila kenderaan itu akhirnya dialihkan setelah pelbagai isu persekitaran timbul.
“Kafe bas ini diperkenalkan kira-kira 10 tahun lalu, namun, selepas beberapa bulan digunakan berlaku kerosakan demi kerosakan sehinggalah ia tidak boleh digunakan untuk berniaga.
“Kita bersetuju bas ini diangkat, namun, kita meminta agar pihak berwajib dapat menyediakan kedai yang bersifat kekal dan lebih kondusif sesuai dengan lokasi di tepi laut,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi tersebut.
Tambahnya, selain masalah penyelenggaraan, ruang di dalam bas yang sempit juga menjadi salah satu faktor para peniaga mula membuka khemah bagi memastikan jumlah pelanggan dapat ditampung.
“Bagaimanapun, khemah ini juga tidak sesuai kerana setiap kali ribut melanda, khemah dan peralatan memasak akan rosak atau diterbangkan.
“Kami terpaksa menanggung kos kerugian yang tinggi mencecah RM10,000 setiap kali bencana,” jelasnya.
Untuk rekod, kerajaan negeri memperkenalkan Cafe Bustel pada 2014 menggunakan 44 buah bas terpakai, namun, operasinya dihentikan pada 2017.
Salah seorang bekas peniaga Cafe Bustel, Nurul Huda Ahmad, 31, turut meluahkan permintaan sama agar mereka diberikan tempat berniaga yang lebih kukuh, selain dapat menjamin keselesaan pengunjung.
“Saya sangat setuju bas ini diangkat dan berharap sangat pihak kerajaan dapat menyediakan kedai berniaga yang sistematik, ini saliran sisa makanan di sini pun sempit,” luahnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd. Yusof Abu Hassan berkata, pihaknya telahpun mencadangkan program pengindahan kawasan tersebut ke peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya telah usulkan projek pengindahan bagi kawasan tumpuan pelancong ini, selaku JPKK. saya minta hanya sebelah kawasan sahaja dijadikan tapak berniaga.
“Perlu ada garis panduan, sistem untuk berniaga, jangan pembangunan itu dibuat secara caca marba dan para peniaga tidak perlulah berebut lot berniaga,” katanya. –UTUSAN ONLINE