Harga barang di Pulau Redang diseragamkan kembali - Utusan Malaysia

Harga barang di Pulau Redang diseragamkan kembali

ROSOL Wahid (kanan) mengisi minyak motosikal penduduk di Pulau Redang di Kuala Nerus, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kerajaan mengembalikan semula program penyeragaman harga bagi meringankan beban lebih 2,000 penduduk di Pulau Redang di sini yang terkesan akibat kenaikan kos sara diri. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, sebelum ini, penduduk di pulau itu terpaksa membayar barangan keperluan dengan harga lebih tinggi berikutan kos pengangkutan.

“Kita mendengar keluhan dan rungutan penduduk setempat setelah program penyeragaman harga itu ditangguhkan pada 2019.

“Program penyeragaman harga ini melibatkan harga barang kawalan seperti petrol RON95, diesel, gas petroleum cecair (LPG), tepung gandum, gula, beras dan minyak masak,” katanya ketika memantau pelaksanaan Program Penyeragaman Harga di Pulau Redang di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk Pulau Redang yang rata-ratanya merupakan golongan nelayan tertekan kerana perlu mendapatkan barangan keperluan dengan harga melambung tinggi berbanding di tanah besar.

Mereka perlu membayar RM45 untuk membeli satu tong LPG seberat 14 kilogram (kg), gula (RM3.50), minyak masak (RM3.30), petrol RON95 (RM3.10) dan beras 10 kilogram (RM33).

Rosol berkata, program penyeragaman harga barangan kawalan itu turut melibatkan penduduk di Pulau Perhentian, Besut.

Katanya, inisiatif kerajaan itu turut dilaksanakan di 798 kawasan pulau dan pedalaman di Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah, Sabah dan Sarawak.

“Program ini membolehkan kesemua barangan kawalan terbabit dijual pada harga subsidi ditetapkan dan setara dengan kawasan lain di seluruh negara.

“Penyeragaman harga barangan kawalan ini melibatkan kos hampir RM200 juta yang perlu ditanggung kerajaan,” katanya.

Rosol berkata, kerajaan komited memastikan program penyeragaman harga itu dilaksanakan secara berterusan bagi mengelak rakyat negara ini terhimpit dengan kos sara hidup. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN