Grey water jejas kualiti air sungai

‘Grey water’ jejas kualiti air sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelepasan sisa domestik dari rumah atau kilang ke dalam sistem perparitan yang akhirnya sampai ke sungai menjadi sebahagian daripada penyum­bang kepada pencemaran sungai.

Faktor-faktor kecil domestik seperti sisa air basuhan tangan dan dapur, sabun dari kedai cuci kereta, sisa dobi serta pembua­ngan minyak ke longkang tidak dinafikan berlaku dalam kawasan perumahan dan perindustrian.

Pakar kualiti air dan permo­delan, Dr. Zaki Zainudin berkata, tiada penerangan yang spesifik terhadap kawalan pembuangan sisa ke dalam longkang yang akhirnya mengalir ke sungai se­perti diperuntukkan dalam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Menurutnya, disebabkan itu wujud kelompongan dalam pe­ngawalan terhadap pelepasan sisa bahan pencemaran ke dalam sistem perparitan sama ada di kawasan perumahan ataupun perindustrian.

TANGGUNGJAWAB

“Di Malaysia memang kita ada kelompongan sedikit daripada kawalan air sisa grey water, sebab bagi saya pengawasannya juga seperti dalam grey area. Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab?

“Adakah itu di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Berdasarkan perbinca­ngan yang saya pernah hadiri, ia tangggungjawab PBT.

“Kalau contohnya macam JAS, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ada perundangan tertentu yang spesifik kepada punca-punca tertentu seperti kumbahan, getah, kelapa sawit dan tempat pelupusan sampah. Kalau ada pelepasan sisa ini memang di bawah JAS,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zaki menjelaskan, parit atau longkang yang dibina dekat kawasan rumah, komersial atau industri adalah bertujuan untuk mengalirkan limpahan air hujan dan dalam masa sama mengelakkan daripada berlaku banjir.

Beliau turut menjelaskan, masalah sisa buangan boleh terperangkap apabila keadaan sungai mengalami air pasang yang menyebabkan pencemaran tidak dapat mengalir keluar sekali gus berisiko menyebabkannya ma­suk ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) berhampiran.

“Bila berlaku air pasang, isu yang kerap terjadi adalah penerobosan air masin. Cuma masalahnya bukan penerobosan air masin sampai ke Labohan Dagang, isunya bila air laut pasang, menghalang air tercemar terus mengalir, mungkin akan ada sedikit tertolak ke atas (hulu).

“Maknanya memang pencemaran itu akan terkumpul dan berpatah balik, tak boleh keluar ke laut. Di bahagian hulu pula tetap akan terkesan cuma perlahan bila berlaku air laut pasang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×