PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) mensasarkan 500,000 pengunjung bakal memeriahkan Festival Ramadan Putrajaya 2022 (FRP 2022) yang akan diadakan 31 Mac sehingga 2 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa FRP 2022, Nik Shukri Nik Soh berkata, empat komponen utama bakal diadakan sepanjang festival berkenaan membabitkan Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar.
Beliau berkata, FRP 2022 bermula tiga hari lebih awal dari tarikh 1 Ramadan yang akan beroperasi dari pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam di Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks PPj dan kawasan bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA).
“Bagi komponen Bazar Ramadan Putrajaya, terdapat 160 gerai yang menjual juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Putrajaya bermula dari 3.00 petang hingga 8.00 malam bertempat di lot berhampiran MTMZA.
“Anjung Syawal pula menawarkan lebih 200 penggerai yang turut disertai beberapa selebriti atau pempengaruh tempatan.
“Di samping jualan barangan, turut diadakan pameran, persembahan dan hadiah cabutan bertuah lumayan kepada para pengunjung yang hadir,” katanya dalam sidang akhbar FRP 2022, di sini hari ini.
Nik Shukri yang juga Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj berkata, bagi menggalakkan aktiviti perniagaan pada bulan Ramadan serta menyediakan pilihan membeli juadah berbuka puasa kepada komuniti dan pengunjung, PPj juga meluluskan 100 tapak Bazar Ramadan bertempat di parkir Park & Ride, Presint 14 yang diuruskan oleh pihak swasta.
Katanya, selain daripada Bazar Ramadan, pengunjung boleh mendapatkan juadah berbuka di Laman Iftar yang terletak di antara perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya.
“Terdapat 16 buah gerai yang menjual pelbagai juadah berbuka dari pukul 4.00 petang hingga 12.00 tengah malam dan pengunjung boleh memilih untuk berbuka puasa dan moreh di Laman Iftar berkonsepkan outdoor cafe di Kompleks PPj dan di padang berhadapan Kompleks PPj yang juga lokasi ikonik berbuka santai bersama rakan-rakan dan keluarga.
“Bersempena dengan Ramadan yang bakal tiba, pelbagai pengisian berbentuk kerohanian dan kemasyarakatan turut dirancang seperti sesi tazkirah, ceramah, tadarus al-Quran serta program-program lain bersama komuniti Putrajaya,” tegasnya.
Tambahnya, walaupun kelonggaran pada SOP diumumkan pada 1 April ini, PPj masih mengekalkan kaedah kawalan pematuhan SOP pada Bazar Ramadan Putrajaya seperti yang dilaksanakan pada tahun lalu.
“Had maksima pengunjung di bazar Ramadan adalah 800 hingga 1,000 orang dan PPj juga akan menyediakan pas masuk kepada pengunjung yang hadir dengan peruntukan masa pembelian juadah berbuka antara 15 hingga 30 minit,” katanya. –UTUSAN ONLINE