Duit negara ‘dijarah’ tanpa ditambah - Utusan Malaysia

Duit negara ‘dijarah’ tanpa ditambah

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menggunakan dana negara sehingga RM600 bilion tanpa mempunyai sebarang perancangan rapi untuk menambah pendapatan negara.

Dalam sidang Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, tabung-tabung negara telah berkurangan berikutan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Kerajaan berdepan dengan keadaan yang sangat mencabar untuk memulihkan semula tabung-tabung negara setelah kerosakan teruk ditinggalkan PH dan PN terdahulu. Ahli Parlimen Pagoh bukan tidak tahu keadaan kewangan negara sedangkan beliau menjawat jawatan menteri kanan dalam PH dan kemudian menjadi perdana menteri dalam PN.

“Sebenarnya, selepas PRU-14, Ahli Parlimen Pagoh berada dalam dua kerajaan yang merosakkan kewangan negara. Beliau juga pernah mengaku membelanjakan RM600 bilion untuk menunjukkan keprihatinannya semasa menjadi perdana menteri sehingga kerajaan tidak mempunyai dana lagi.

“Dari mana dia dapat dana itu jika bukan dari rizab RM2 trilion daripada zaman Barisan Nasional (BN) ataupun dengan menambah hutang negara. Setakat hendak membelanjakan duit, semua boleh, tetapi, gagal menambah hasil negara,” katanya dalam usul menjunjung kasih Titah Diraja.

Tambah Najib, hutang 1Malaysia Development Bhd. tidak menggunakan wang rakyat kerana kerajaan telah peroleh dana daripada Syarikat Goldman Sachs.

“Janganlah kita memberikan alasan hutang 1MDB sebagai merosakkan kewangan negara, hakikatnya sat usen prinsip hutang 1MDB tidak pernah dibayar. Pada tahun 2018, hutang 1MDB RM32 bilion dan pada 2019 juga, ia kekal RM32 bilion dan sama juga pada 2020.

“Adalah tidak betul untuk mencadangkan bahawa rakyat perlu membayar hutang 1MDB misalnya bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs bukanlah daripada wang rakyat, itu adalah wang yang boleh digunakan untuk bayar hutang 1MDB.

Najib kemudian disoal oleh Ahli Parlimen Jelutong sama ada beliau mengenali Jho Low sementara itu Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mencelah dengan berkata Goldman Sachs memberikan duit adalah kerana syarikat itu memulangkan semula wang milik Malaysia.

Beliau mengambil pendekatan untuk tidak menjawab sebarang soalan dan hanya memberikan fokus untuk menghabiskan ucapan beliau. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN