Covid-19, banjir: Pengusaha bas ‘jatuh ditimpa tangga’ - Utusan Malaysia

Covid-19, banjir: Pengusaha bas ‘jatuh ditimpa tangga’

MOHD. HARON MOHD. SIDIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Nasib pengusaha bas sekolah ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila hampir dua tahun tidak dapat beroperasi sepenuhnya ekoran pandemik Covid-19 ditambah pula dengan dugaan banjir kilat yang menyebabkan  beberapa buah bas rosak akibat ditenggelami air.

Menurut Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL), Mohd. Haron Mohd. Sidik, pandemik Covid-19 selama dua tahun dan banjir besar hujung tahun lalu hampir melumpuhkan perniagaan bas sekolah.

“Sekolah baru dibuka pada bulan Januari tahun ini, tiba-tiba banjir pula melanda di beberapa daerah semalam. Banyak bas sekolah rosak teruk kerana terendam dalam banjir.

“Banjir pula bersama dengan lumpur, kebanyakan bas sekolah menggunakan sistem elektronik. Kos baik pulih mencecah ribuan ringgit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau menambah, ada pengusaha terpaksa berhutang dan ada yang ke pajak gadai untuk memastikan bas mereka dapat beroperasi semula.

 Kata Mohd. Haron lagi, semalam sekali lagi beberapa bas sekolah berendam di dalam banjir setelah banjir hujung tahun lalu bas sama turut terlibat.

“Hujan cuma tiga jam sahaja, tetapi, di Lembah Klang ini banyak tempat dinaiki air.Tidak pasti bagaimana bas-bas sekolah ini dapat beroperasi semula pada 21 Mac ini apabila sesi persekolahan bermula,” ujarnya.

Sehubungan itu, bagi pihak ahli-ahli PBSSPKL, beliau memohon bantuan kerajaan membantu kebajikan pengusaha bas sekolah yang terlibat dengan banjir dengan kadar segera.

Semalam, beberapa kawasan di negeri ini dan Kuala Lumpur dilanda banjir kilat akibat hujan lebat selama beberapa jam di sebelah petang. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN