Perak perhalusi cadangan SMTDR jadi pusat latihan perguruan tahfiz

Cadangan SMTDR jadi pusat latihan perguruan tahfiz diperhalusi

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak menyambut baik cadangan menaik taraf lima Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) sebagai pusat latihan perguruan tahfiz.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri sedang memperhalusi kertas cadangan yang dikemukakan Persatuan Maahad Tahfiz Al Quran Negeri Perak (Pematap) itu dalam memperkasakan institusi berkenaan.

“Cadangan disebutkan ADUN Ayer Kuning (Datuk Samsudin Abu Hassan) adalah cadangan baik untuk kita naik taraf dan perkasakan maahad tahfiz.

“Kita akan perhalusi dan akan menjadikan cadangan tadi sebagai satu cadangan,” katanya dalam sesi perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Pada perbahasan hari ini, Samsudin mencadangkan kelima-lima SMTDR di negeri ini dijadikan sebagai Pusat Latihan Perguruan Tahfiz, Pusat Latihan Akademi Syahadah al-Quran, Pusat Lanjutan Tahfiz dan Pengajian Kitab Taurat, Pusat Lanjutan Tahfiz dan Kemahiran TVET serta Pusat Lanjutan Tahfiz dan Agro.

Terdahulu, pada sesi sama, Saarani turut menjawab soalan lisan ADUN Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor berkenaan keperluan serta perancangan pembangunan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) di negeri ini.

Menurut Saarani, kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan pihak sekolah untuk mendapatkan maklumat berkenaan keperluan semasa sekolah-sekolah tersebut.

Katanya, selain daripada bantuan pembangunan infrastruktur sekolah, kerajaan negeri turut menganjurkan pelbagai kursus, bengkel dan latihan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar bagi memastikan kemaslahatan pembangunan modal insan dapat ditingkatkan.

“Pada tahun 2021, sejumlah RM7.27 juta telah diperuntukkan kepada SRAR iaitu bantuan per kapita bagi tujuan pengurusan sekolah sebanyak RM5.55 juta, bantuan naik taraf dan selenggara bangunan atau infrastruktur sebanyak RM1.64 juta serta bantuan internet guru bagi tujuan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebanyak RM76,700,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya