JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor akan mengembalikan kehebatan ekonomi negeri itu yang pernah menjadi penyumbang tertinggi kepada keseluruhan pelaburan Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, kemajuan ekonomi antara ikhtiar terpenting yang mahu dicapai memandangkan ketidakstabilan politik dan pandemik selama ini telah membantutkan kemajuan dan prestasi ekonomi Johor sejak empat tahun lalu.
Ketua Penyelaras Pilihan Raya Negeri (PRN) BN Johor itu berkata, tiga impetus utama digariskan untuk memacu pemulihan ekonomi iaitu Johor sebagai Lembah Digital Selatan, Hab Agromakanan Malaysia dan merancakkan semula pelaburan baharu bagi sektor minyak dan gas.
“Kita juga akan menyegerakan pembukaan sempadan Johor-Singapura demi menyemarakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan dan pada masa sama mahu mengurangkan karenah birokrasi di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Tidak dilupakan kita akan membangunkan sosio-ekonomi semua daerah berteraskan potensi dan kearifan setempat misalnya Muar sebagai hab perabot negara, Maharani Energy Gateway, Batu Pahat Barter Trade Port dan menjadikan Johor Bahru sebagai pusat perdagangan bertaraf antarabangsa melalui pembangunan Ibrahim International Business District (IIBD),” katanya.
Tambah Hasni, beberapa fokus akan turut diberikan terhadap ikhtiar kesejahteraan rakyat melalui Johor Berkebajikan, Johor Berbudaya dan Berkepimpinan, Johor Lestari dan Johor Kerja yang menawarkan 100,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.
“Bangsa Johor akan diberikan peluang seluasnya untuk meningkatkan kemahiran mereka. Bagi memenuhi kehendak pasaran semasa, BN Johor akan menyediakan pelbagai program peningkatan kemahiran berteraskan ekonomi masa hadapan melalui Johor Berkemahiran.
“Kita galakkan rakyat Malaysia profesional yang berada di Singapura untuk menetap dan bekerja di Johor dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya.
Beliau berkata, golongan belia atau Orang Muda Johor (OMJ) pula segmen masyarakat terpenting bagi Johor, justeru dalam tempoh lima tahun BN Johor akan memudahkan akses perumahan, bantuan kewangan tahunan dan menyokong serta memajukan perniagaan diusahakan mereka.
“Kita kekal komited untuk memperkasa penglibatan OMJ dalam sistem dan amalan demokrasi. Oleh itu, BN Johor akan mengangkat seorang ahli Dewan Muda Johor (DMJ) sebagai calon wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen,” katanya.
Selain itu, integriti dalam pentadbiran adalah elemen utama bagi mencapai kelima-lima ikhtiar berkenaan yang menyaksikan BN Johor akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi memudahkan urusan rakyat dengan amalan pentadbiran digital selain menjamin integriti wakil-wakil rakyat.
Malah, ikhtiar reformasi politik akan terus dilaksanakan termasuk memperkemas sistem lantikan ketua kampung berdasarkan merit, prestasi dan penerimaan ramai dan menubuhkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas di DUN.
“Kita sudah tiba di satu persimpangan penting, rakyat Johor harus memilih antara retorik populis atau perancangan masa depan yang realistik. Kita wajar memilih sebuah kerajaan yang berupaya mengurus ekonomi dan membina potensi Bangsa Johor.
“Kita wajar pilih naratif politik baharu iaitu politik amal dan politik bakti. Bukan politik yang mengganggu, jauh sekali ahli-ahli politik yang cauvinis. Kita wajar pilih masa depan yang stabil, sejahtera dan lebih terjamin buat semua. Bukan masa depan yang tidak berpijak di bumi nyata, malah berada di luar kemampuan yang ada,” katanya. – UTUSAN