[PARLIMEN]: Ada ruang penambahbaikan projek rintis JKMPay-Rina - Utusan Malaysia

[PARLIMEN]: Ada ruang penambahbaikan projek rintis JKMPay-Rina

RINA HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa Tunai atau JKMPay masih mempunyai ruang penambahbaikan.

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Rina menjelaskan, JKMPay akan dibuat selepas setahun pelaksanaannya dan projek rintis yang dilaksanakan bermula Februari 2021 itu hanya melibatkan Kedah, Perlis, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Selangor.

“Projek ini projek rintis, satu kajian akan dibuat. Kita sudah buat kajian sebelum ini iaitu selepas enam bulan pelaksanaan JKMPay tentang bagaimana untuk menambah baik setiap program ini sebelum dilaksanakan.

“Kita juga buat konsultasi dengan penerima-penerima yang terlibat projek rintis JKMPay termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Projek rintis ini masih ada lagi ruang untuk penambahbaikan, nama pun projek rintis belum lagi dijadikan dasar dan polisi,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri.

Begitu pun, Rina berkata, JKMPay di negeri lain akan ditangguhkan sehingga laporan kajian berkenaan dibentangkan.

Perkara berbangkit daripada soalan tambahan P. Kasthuriraani (Batu Kawan-PH) yang bertanyakan sama ada wujud konsultasi dengan golongan OKU berhubung JKMPay dan status pelaksanaan program ini.

Rina berkata, sebanyak 76 peratus bersetuju kaedah tanpa tunai memudahkan, 80 peratus bersetuju kaedah tanpa tunai lebih selamat berbanding tunai dan 80 peratus menyatakan kawalan perbelanjaan lebih baik melalui kaedah tanpa tunai.

“JKMPay antara lain bertujuan membantu penerima untuk mengurus dan mengawal pembelanjaan wang bantuan secara berhemah serta memastikan penerima memenuhi keperluan asas harian,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN