KUALA TERENGGANU: Seramai 36,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara menerima bantuan barangan kelengkapan persekolahan sumbangan Yayasan Petronas, tahun ini.
Pengurus Kanan Petronas Pantai Timur, Azeman Said berkata, daripada jumlah itu, seramai 22,000 penerima merupakan murid sekolah rendah manakala baki 14,000 lagi di sekolah menengah.
Katanya, lebih istimewa, jumlah penerima dalam program Kembali ke Sekolah kali ini meningkat 71 peratus berbanding tahun lalu.
“Di Terengganu, bantuan melibatkan seramai 3,000 penerima dengan 1,800 daripadanya adalah murid sekolah rendah terpilih di Kemaman, Marang, Setiu, Besut dan Hulu Terengganu manakala 1,200 lagi sumbangan diagihkan kepada pelajar sekolah menengah terpilih di daerah ini, Dungun dan Kuala Nerus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azeman, di Kelantan pula, penerima terpilih adalah seramai 4,200 pelajar manakala 1,500 lagi di Pahang.
Katanya, program tradisi tahunan sejak 2003 itu bertujuan meringankan beban golongan memerlukan bagi menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 yang serba mencabar.
Beliau berkata, setiap penerima diberikan sepasang pakaian seragam sekolah, pakaian sukan, kasut, beg galas, bekas makanan dan botol minuman, set alat tulis, buku aktiviti sempena Program Duta Guru di samping kit kebersihan diri. –UTUSAN ONLINE