KUALA SELANGOR: Helah 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di kawasan paya bakau gagal apabila dicekup pihak berkuasa berhampiran Jeti Nelayan Assam Jawa di sini, semalam.
Sembilan lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 57 tahun dipercayai baru tiba di negara ini dengan menaiki bot.
Cubaan persembunyian di lokasi paya itu bagaimanapun dihidu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih yang memberkas mereka, kira-kira pukul 6.45 pagi.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintendan Rizal Mohamed berkata, perkara itu dihidu pihaknya ketika melakukan rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan tersebut.
Katanya, kesemua Pati itu ditemukan di kawasan paya bakau berdekatan sebuah jeti nelayan.
“Pemeriksaan mendapati semua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah.
“Mereka masuk menerusi laluan laut yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Rizal, kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.
“Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Justeru, pihaknya mengalukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang. –UTUSAN ONLINE