UniPSAS lantik ulama hadis tersohor dunia sebagai felo Akademik Hadis - Utusan Malaysia

UniPSAS lantik ulama hadis tersohor dunia sebagai felo Akademik Hadis

SAIFUL Edris Zainuddin (tengah) menyampaikan watikah lantikan sebagai Felo Hadis Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) kepada Sheikh Dr. Abdel Karim Elsayed Elbadawi Ahmad Soliman Al-Nadawi (dua, kanan) dan turut diperhatikan Dr. Mohd. Zawavi Zainal Abidin (kiri) di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020, di Auditorium UniPSAS di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Ulama hadis tersohor dunia, Sheikh Dr. Abdel Karim Elsayed Elbadawi Ahmed Soliman Al-Nadawi dilantik sebagai Felo Akademik Hadis di bawah Akademi Hadis (AHad), Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) bagi tempoh setahun.

Naib Canselor UniPSAS, Datuk Dr. Mohd. Zawavi Zainal Abidin berkata, lantikan ulama besar dari Mesir itu bukan sahaja yang pertama di peringkat universiti di Pahang, malah, di negara ini.

Menurutnya, pelantikan tersebut dibuat bagi membantu dan seterusnya memantapkan lagi akademi hadis dan sunnah di peringkat universiti berikutan beliau merupakan seorang ulama dunia yang pakar dalam bidang tersebut.

“Pihak kami (UniPSAS) melantik beliau sebagai felo kanan hadis atas kapasiti bidang tujahan universiti ini termasuklah bidang hadis seperti mana yang dititahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Setakat ini, Dr. Abdelkarim tidak pernah menjadi mana-mana felo di mana-mana institusi di Malaysia, di sini (UniPSAS) merupakan yang pertama dan kita bersyukur memandangkan ada juga pihak dan agensi-agensi lain yang inginkan khidmatnya tetapi beliau memilih UniPSAS dan negeri Pahang.

“Tugas beliau selaku Felo Akademik Hadis  akan membantu pihak universiti bagi memantapkan akademi hadis di sini yang mana akan dijadikan tempat rujukan, sebagai penyampai ilmu dan menasihati UniPSAS dari setiap segi berkaitan hadis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2020 UniPSAS dan Penyampaian Watikah Pelantikan Felo Hadis UniPSAS di Auditorium UniPSAS di sini hari ini.

Turut hadir, penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Saiful Edris Zainuddin bagi mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak. 

Tokoh ulama itu merupakan anak murid kepada Syaikh Abu Al-Hassan Al-Nadawi memperoleh ijazah dan sanad dalam pelbagai bidang ilmu daripada ulama besar India, Al-Azhar, Maghribi, Syam, Hijaz, Indonesia, Bangladesh dan beberapa negara lagi.

Bidang kepakaran Sheikh Dr. Abdel Karim adalah perubatan, Bahasa Arab, Hadis, Fiqh Al-Syafie, Tasawwuf dan Usuluddin.

Mengulas lanjut, Mohd. Zawavi berkata, semua warga UniPSAS berbesar hati dengan pelantikan Sheikh Dr. Abdel Karim kerana mahu berkhidmat di universiti itu dan perbelanjaan kehadirannya ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Alhamdulillah, semua keberadaan beliau di UniPSAS dan di negeri ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri yang telah memperuntukkan kira-kira RM130,000 selama satu tahun,” katanya.

Dalam majlis sama, seramai 92 penerima anugerah bagi tujuh kategori anugerah yang telah disediakan iaitu Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi, sijil penghargaan kepada petugas barisan hadapan, Anugerah Khas Naib Canselor, Anugerah Kesetiaan UniPSAS, Anugerah Jasa Kebaktian, Anugerah Khas Jubli Perak UniPSAS dan APC.

Seramai 17 kakitangan yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang bagi kategori APC membawa pulang sijil penghargaan, cenderahati dan wang tunai RM1,000. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN