Suspek kes langgar lari di Kemaman ditahan dalam serbuan Ops Sarang

Suspek kes langgar lari di Kemaman ditahan dalam serbuan Ops Sarang

WAN MOHD. ZAHARI Wan Busu (tengah) dalam sidang akhbar Ops Sarang Khas, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuantan, di perkarangan Ibu pejabat Polis Daerah di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis berjaya menahan seorang daripada dua suspek yang melarikan diri selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 269 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kemaman, Terengganu dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu, berkata, suspek kes langgar lari yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan bersama seorang rakan di sebuah inap desa di Jaya Gading, dekat sini.

Menurutnya, kedua-duanya ditahan menerusi serbuan Ops Sarang Khas – Jihad Dadah yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuantan, hari ini.

“Dalam tangkapan tersebut, hanya suspek sahaja yang terlibat dalam kes langgar lari manakala rakannya itu tidak mempunyai sebarang kaitan dalam kemalangan itu.

Hasil pemeriksaan dalam kereta yang digunakan suspek pula, polis menemukan dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat 55.20 gram dan syabu seberat 5.14 gram.

“Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya dalam sidang akhbar Ops Sarang Khas, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuantan, di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.15 tengah hari kelmarin, kedua-dua suspek yang terlibat dalam kemalangan itu menaiki kereta Perodua Myvi telah melanggar seorang penunggang motosikal di Kilometer 269 LPT2 dekat Cheneh, Kemaman sehingga menyebabkan mangsa yang cedera parah di kepala maut di tempat kejadian.

Kedua-dua suspek melarikan diri sebelum kereta dipandunya itu tersadai kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian dan kemudiannya melarikan kenderaan Nissan Grand Livina milik seorang lelaki yang berhenti bertanya kepada suspek berhubung tindakan mereka melarikan diri selepas melanggar mangsa.

Wan Mohd. Zahari berkata, polis Kuantan dan Kemaman akan bekerjasama dalam menyelesaikan kes tersebut yang membabitkan suspek berkenaan. 

“Kenderaan Nissan Grand Livina yang dicuri dan ditinggalkan juga telah dijumpai dan diserahkan kepada polis Kemaman untuk siasatan lanjut. 

“Kes di Kemaman itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya