Serangan terhadap UMNO serlah wajah sebenar Bersatu - Utusan Malaysia

Serangan terhadap UMNO serlah wajah sebenar Bersatu

Pemimpin Perikanan Nasional (PN) iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai melakukan gimik sempena Pelancaran PN Johor di Taman Pasak Indah, Kota Tinggi. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan para pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang secara berterusan dan terang-terangan menyerang UMNO serta Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, hanya memperlihatkan wajah sebenar pimpinan gabungan itu.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, serangan terhadap UMNO dan BN yang dilakukan Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bukan suatu yang pelik dan sememangnya sudah dijangka.

“Perkara ini akan berlaku kerana realitinya PN dan BN bukan dalam sebuah gabungan politik yang sama.

“Apatah lagi pembentukan kerajaan hari ini tidak diasaskan melalui kerjasama yang bersungguh-sungguh dan benar benar ikhlas. Lebih-lebih lagi Bersatu kekal dengan niat asal yang mahu membunuh UMNO.

“Bagaimanapun, saya harap UMNO akan kekal dengan kematangan politiknya. Menegur biar berfakta. Jika mengkritik ia dilakukan tanpa emosi dan tidak menyentuh soal peribadi dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas serangan PN yang berterusan itu, beliau berkata, UMNO bagaimanapun tidak mempunyai sebarang nasihat kepada pimpinan PN terutama mereka yang berada dalam kerajaan kerana sudah terlalu banyak serangan termasuk kata-kata kesat dan emosi dilakukan dilemparkan kepada UMNO.

“Pada saya rakyat sudah bijak dan mereka akan menilai semuanya. Apa yang jelas ialah tiada kesepakatan atau kerjasama yang tulin sebenarnya dalam kerajaan hari ini.

“Kerana itu, BN konsisten mahu membina sebuah kerajaan yang diyakini rakyat dengan membentuknya bersama rakan parti yang sealiran.

“Justeru itu, BN membawa mesej kestabilan masa depan dalam PRN Johor. Ini penting untuk rakyat dan negeri Johor,” jelasnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula menyifatkan tindakan PN tersebut kerana mereka sering `dihantui’ oleh UMNO.

“Jelas tindakan mereka mengesahkan apa yang UMNO selama ini katakan bahawa penubuhan Bersatu adalah kerana mahu membunuh dan menggantikan UMNO.

“Kemesraan di Kabinet yang ditunjukkan adalah pura-pura kerana ia kerajaan interim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN