KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak mengalu-alukan cadangan Kerajaan Pusat untuk membuka semula sempadan antarabangsa Malaysia menjelang Mac ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata langkah itu, termasuk kuarantin bukan mandatori untuk pelawat boleh mempercepatkan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) serta meningkatkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 (PCDS2030).
Katanya, cadangan dan saranan yang dikemukakan oleh Majlis Pemulihan Negara (NRC) adalah petanda baik untuk pemulihan cepat pelbagai sektor ekonomi Malaysia yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, terutamanya industri pelancongan dan hospitaliti.
“Sarawak tidak terlepas dan ia telah kehilangan berbilion-bilion ringgit aliran pendapatan daripada industri pelancongan dan perhotelan yang pada tahun-tahun lepas telah menyumbang kepada ekonomi tempatan dan mata pencarian mereka yang bekerja dalam industri hiliran,” katanya dalam kenyataan akhbarnya di sini hari ini.
Abdul Karim berkata, apa yang disebut dan dicadangkan oleh pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut baik oleh pemain industri di seluruh dunia kerana impak positif daripada pembukaan semula sempadan negara akan meningkatkan usaha pemulihan ekonomi negara.
Katanya, rakyat juga akan mendapat faedah kerana akan wujud peluang pekerjaan apabila sektor pelancongan dan perhotelan semakin pulih.
“Kita bercakap tentang orang tempatan kita yang tidak sabar untuk melayani pelancong asing yang tidak sabar-sabar untuk menghabiskan wang mereka selepas bertahun-tahun tidak dapat menikmati perjalanan dan bercuti di destinasi percutian seperti Sarawak dan Malaysia.
“Industri pelancongan perubatan Sarawak juga dijangka mendapat manfaat daripada pembukaan semula sempadan kita kerana sebelum ini, aliran hasil yang menjanjikan daripada sektor tersebut telah menggalakkan penubuhan institusi perubatan dan hospital swasta di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu,” ujar beliau.
Menurut Abdul Karim lagi, baru-baru ini Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menyebut bahawa pelancongan perubatan di negara ini menyumbang RM1.7 bilion kepada ekonomi negara pada 2019 sebelum penularan wabak Covid-19 pada 2020.
“Bagi memudahkan pembukaan semula sempadan kita, kita mesti mendidik dan menyemai kesedaran di kalangan bakal pelawat tentang keperluan untuk mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) Sarawak sebelum ini,” katanya.
Katanya sebarang permohonan penyertaan diterima, perlu ada usaha bersepadu oleh pemain industri yang berkenaan untuk memastikan hanya pelancong dan pelawat yang diberi vaksin sepenuhnya dengan dos penggalak iaitu risiko jangkitan Covid-19 dapat dikurangkan dan dielakkan diterima masuk ke negara ini. -UTUSAN ONLINE