PRN Johor: Pengundi kerja di Singapura boleh undi pos - Utusan Malaysia

PRN Johor: Pengundi kerja di Singapura boleh undi pos

ABDUL GHANI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengundi warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura boleh memohon untuk menjadi pengundi pos dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, mereka boleh berbuat demikian selepas suruhanjaya itu mula membuka permohonan untuk undi pos selepas mesyuarat SPR berhubung PRN Johor pada 9 Februari ini.

Beliau menjelaskan, pengundi yang berada di Singapura adalah termasuk dalam pengundi yang tinggal di luar negara dan SPR memberikan kemudahan itu untuk mereka melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

“Pengundi yang bekerja atau tinggal di Singapura atau negara-negara lain boleh memohon untuk mengundi sebagai pengundi pos dalam tempoh ditetapkan SPR,” katanya di sini semalam.

Johor bakal menyaksikan seramai 2,599,797 juta pengundi aktif daripada keseluruhan kira-kira 3.52 juta penduduk negeri ini layak mengundi dalam PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.

Berdasarkan data terkini daripada SPR, jumlah itu disenaraikan sebagai Daftar Pemilih Induk (DPI) yang diwartakan pada 17 Januari lalu.

Mengikut data tersebut, Johor merekodkan seramai 2.57 juta pengundi biasa terdiri daripada orang awam manakala seramai 10,958 pengundi tentera dan pasangan, serta 11,578 pengundi polis dan pasangan mereka.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor, Abdul Ghani sebelum ini berkata, SPR akan mengemukakan cadangan SOP perjalanan pilihan raya, namun keputusan akhir akan dibuat dan dinilai oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, perkara itu akan di­bincangkan SPR dalam mesyua­rat suruhanjaya itu pada 9 Februari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN