PRN Johor: Laluan getir 8 kerusi asal Bersatu - Utusan Malaysia

PRN Johor: Laluan getir 8 kerusi asal Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi peluang terbaik untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuktikan keupayaan mereka terutama bagi mempertahankan lapan kerusi asal yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tujuh daripada lapan kerusi tersebut iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Bukit Kepong, Kempas, Tenang, Permas, Larkin dan Bukit Permai kekal diwakili calon Bersatu kecuali DUN Puteri Wangsa yang diberikan kepada Parti Gerakan Rakyat Malaysia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Md. Nasir Hashim percaya semua daripada kerusi tradisi Bersatu itu mempunyai peluang cerah untuk dipertahankan, malah mereka optimis tiada yang mustahil dalam politik.

“Gambir memang kita letak antara keutamaan untuk menang yang kali ini diwakili Ketua Bahagian Bersatu Ledang, Mohd. Solihan Badri kerana kita tahu itu kerusi yang ditinggalkan oleh Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohd. Solihan juga memang bertapak di situ.

“Begitu juga dengan kerusi-kerusi lain seperti Bukit Kepong dan Bukit Permai misalnya, kita kekalkan penyandang yang masing-masing bekas Menteri Besar (Datuk Dr. Sahrudin Jamal) dan bekas Exco (Tosrin Jarvanthi) untuk mereka terus beri saingan sengit kepada lawan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, di kawasan tradisi lain yang kali ini ditandingi calon muka baharu, Md. Nasir yang juga Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri berkata, gabungan itu akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kerusi-kerusi itu kekal milik Bersatu-PN.

“Kita tahu faktor calon memainkan peranan penting untuk memenangi sesuatu pilihan raya, walaupun mereka pertama kali bertanding tetapi tiada yang mustahil untuk memberi kejutan pada 12 Mac ini.

“Apatah lagi faktor kerjasama dengan Pas dan Gerakan yang lebih mantap berbanding di Melaka kerana ketika itu kita kali pertama berkolaborasi secara rasmi antara ketiga-tiga parti bagi menghadapi PRN,” katanya.

Selain Muhyiddin yang tidak akan bertanding di Gambir dan kematian penyandang DUN Kempas yang juga bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Osman Sapian, Bersatu tidak menamakan semula Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh di Permas.

Manakala dua bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad (Larkin) dan Mazlan Bujang (Puteri Wangsa) keluar parti berkenaan selepas DUN Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu.

Pada PRN Johor kali ini, PN menampilkan muka baharu di Larkin (Zulkifli Bujang), Permas (Tazul Arifin Nasri), Kempas (Nur Faizal Abdullah) dan Tenang (Ahmad Humaizi Udin), manakala Gerakan meletakkan Loh Kah Yong di Puteri Wangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN