PRN Johor: 239 rebut 56 kerusi

PRN Johor: 239 rebut 56 kerusi

Seorang wanita melepasi poster Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad di Benut, Johor, semalam. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Barisan Nasio­nal (BN) dan Perikatan Nasio­nal (PN) menjadi gabungan parti terbesar bertanding di semua 56 kerusi, sekali gus berdepan saingan sengit untuk mencari kemenangan dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding di bawah logo Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon di 30 kerusi manakala dua rakan kerjasama mereka, PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggunakan logo masing-masing.

PKR menamakan calon me­reka di 20 kerusi, sementara Muda di tujuh kerusi dengan satu kerusi iaitu DUN Larkin menyaksikan mereka bertembung sesama sendiri dalam saingan enam penjuru.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut meletakkan ramai calon mereka apabila di­sahkan bertanding di 42 kerusi manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) yang pertama kali mencuba nasib di

Semenanjung bersaing di enam kerusi, Parti Bangsa Malaysia (4), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (1) dan Parti Sosialis Malaysia (1).

Sementara itu, 16 calon Bebas turut memeriahkan PRN Johor kali ini yang menyaksikan kesemua 56 kerusi DUN berlaku pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru.

Dalam sidang akhbar di Dewan Persada di sini semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan seba­nyak 239 kertas penamaan di­terima agensi berkenaan dan tiada calon yang ditolak selepas tempoh penamaan ber­akhir pukul 10 pagi.

Beliau berkata, saingan tujuh penjuru akan berlaku di dua kerusi DUN iaitu Tiram dan Kempas yang turut melibatkan lima calon bebas di kedua-dua kerusi berkenaan.

“Pertandingan enam penjuru pula akan berlaku di empat DUN, diikuti lima penjuru di lapan DUN, empat penjuru di 35 DUN dan tiga penjuru di tujuh DUN,” katanya.

Menurut beliau, calon tertua adalah Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kulai, Tosrin Jarvanthi berusia 71 tahun di DUN Bukit Permai yang mewakili PN.

Calon termuda pula, ma­sing-masing berumur 26 tahun mewakili BN di Mengkibol iaitu Kelly Chye Pei Yee, manakala Pejuang diwakili Muhammad Airiel Zabirdin.

“Bilangan calon yang ber­tanding mengikut jantina adalah lelaki seramai 202 calon dan 37 calon wanita. Mereka dalam julat umur 40 hingga 49 tahun paling ramai menjadi calon iaitu 72 orang.

“Hanya lapan orang yang berusia antara 18 hingga 29 tahun pula menjadi calon selain 53 orang yang berumur 30 hingga 39 tahun serta 64 orang (50 hingga 59 tahun) dan lebih 60 tahun pula seramai 43 orang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×